suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Remaja melecur teruk dirempuh peserta RXZ Members ditidurkan, dipantau rapi di ICU

Orang ramai cuba memadamkan kebakaran sebuah motosikal di Kuala Nerus pada Jumaat.

REMAJA 13 tahun yang melecur teruk selepas motosikal dinaiki bersama ibunya terbakar di Kuala Nerus, Terengganu pada Jumaat lalu kini ditidurkan bagi menjalani prosedur perubatan.

Mangsa, Ahmad Asyraf Talhah sebelum ini mengalami kecederaan melecur 60 peratus selepas dia dan ibunya yang sedang hamil dipercayai dirempuh motosikal ditunggang peserta perhimpunan RXZ Members 8.0.

Menurut bapa mangsa, Talhah Mahmud, anak sulungnya itu dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu dan ditidurkan sejak tiga hari lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Remaja 13 tahun melecur teruk selepas motosikal terbakar… Bekas Mufti gesa tiga penunggang RXZ jadi punca kemalangan tampil serah diri

Tambahnya, anaknya tersedar seketika pada pagi Ahad, namun doktor mendapati kadar degupan jantung kencang dan perlu dipantau terus secara rapi.

​"Doktor memaklumkan tindak balasnya positif, cuma buat masa ini bimbang terdedah kepada jangkitan kuman kerana lapisan kulit luar tiada dan kuman boleh menyerang pada bila-bila masa," katanya.

Talhah berkata dia difahamkan bekalan tisu untuk menampung bahagian luka masih tiada dan pihak hospital sedang berbincang untuk mencari tisu bagi menjalani rawatan lanjut.

mStar pada Jumaat melaporkan perjalanan seorang ibu bersama anaknya ke pasar bertukar tragedi apabila mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan peserta RXZ Members 8.0 dalam kejadian 11.50 pagi.

Mangsa, berusia 13 tahun dilaporkan melecur sehingga 60 peratus pada bahagian pinggang hingga ke bawah selepas motosikal yang dinaikinya terbakar.

Sementara itu, penunggang RXZ yang terlibat dalam kemalangan tersebut telah tampil ke balai polis bagi membuat laporan pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, lelaki berusia 24 tahun berasal dari Bandar Jengka, Pahang itu tidak melarikan diri dari lokasi kejadian seperti yang ditular di media sosial, sebaliknya hanya panik.

​"Siasatan mendapati penunggang terbabit tidak lari, cuma dia berada dalam keadaan panik untuk mencari rakan-rakannya yang berada jauh di hadapan sebelum tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) untuk membuat laporan," katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati ketika kejadian, motosikal RXZ itu berada di lorong kiri dan bergerak terus sebelum dipercayai hilang kawalan lalu terjatuh di atas jalan.

Azli berkata, motosikal itu kemudian menggelongsor ke hadapan sebelum melanggar Honda Beat yang dinaiki dua mangsa terbabit dari arah belakang.

"Perlanggaran itu menyebabkan RXZ terbakar sebelum api merebak ke Honda Beat," katanya yang turut memaklumkan penunggang RXZ tersebut mengalami bengkak pada lutut dan luka ringan di tangan.

 

Artikel Lain