TIGA penunggang motosikal Yamaha RXZ yang didakwa melanggar lampu merah sehingga mencetuskan kemalangan di Simpang Empat Kampung Buluh Gading di Kuala Nerus, Terengganu digesa tampil ke balai polis dan bertanggungjawab atas kejadian tersebut.Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri meluahkan rasa dukacita terhadap insiden mengakibatkan seorang remaja lelaki melecur teruk selepas motosikal yang dinaiki bersama ibunya hamil tujuh bulan terbakar. “Astaghfirullahal-Azim. Baru sahaja pagi tadi saya titip nasihat. Berhati-hatilah di jalan raya. Janganlah kegembiraan kita menjadi kesusahan kepada orang lain. “Marilah jadikan jalan raya sebagai tempat memberikan akhlak, bukan keberanian yang sia-sia. Hormatilah pengguna jalan raya yang lain, kawal kelajuan dan utamakan keselamatan.“Tiga penunggang RXZ yang melanggar lampu merah dan menyebabkan punca utama kejadian ini, sila tampil ke balai polis dan bertanggungjawab,” katanya.Sebelum itu, media melaporkan perjalanan seorang ibu bersama anaknya ke pasar bertukar tragedi apabila mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan peserta RXZ Members 8.0 dalam kejadian 11.50 pagi.Mangsa, berusia 13 tahun dilaporkan melecur sehingga 60 peratus pada bahagian pinggang hingga ke bawah selepas motosikal yang dinaikinya terbakar.