PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak semua pihak supaya mengetepikan perbezaan politik dan kembali mengeratkan hubungan selepas berakhirnya tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.Perdana Menteri berkata, sepanjang tempoh kempen pelbagai pandangan telah dikemukakan dan mengakui mungkin berlaku keterlanjuran dalam percakapan, justeru semua pihak diseru agar saling bermaaf-maafan demi perpaduan. Menurutnya, pertandingan politik tidak seharusnya menjejaskan hubungan sesama rakyat kerana semua pihak merupakan rakyat Malaysia yang tinggal dan membina kehidupan di Negeri Sembilan."Jadi marilah kita sama-sama mohon maaf satu sama lain, bersahabat semula kerana kita ini bertarung dalam kalangan semua rakan-rakan, rakyat Malaysia, pengundi Negeri Sembilan."Jadi kepada penduduk dan pengundi Negeri Sembilan, terutama majoriti yang Muslim dan rakan-rakan kita dalam kalangan Cina, India dan Orang Asli, mari kita gunakan tanggungjawab kita."Cadangan saya yang mewakili PH, mohon pertimbangan supaya diberikan peluang untuk PH meneruskan khidmat, menjamin kestabilan dan memacu pertumbuhan yang akan memberi jaminan kesejahteraan kepada semua rakyat Negeri Sembilan," katanya [Tonton Video].Katanya, kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan di bawah Kerajaan Madani diyakini mampu memastikan kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan terus diperkukuhkan.