Penyokong PH memberikan sokongan kepada calon mereka sewaktu hadir pada Hari Penamaan Calon PRN Negeri Sembilan, 18 Julai lalu.
PAKATAN Harapan (PH) menyasarkan mengekalkan pentadbiran Negeri Sembilan dengan majoriti selesa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung esok (1 Ogos).Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, gabungan itu meletakkan sasaran memenangi 21 atau 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Menurut Amirudin, keyakinan itu bersandarkan rekod prestasi pentadbiran PH sejak mengambil alih kerajaan negeri pada 2018, selain penilaian pengundi terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun."Sasaran minimum kami ialah 19 kerusi. Namun, jika momentum sokongan lebih kuat, kami percaya mampu memenangi 21 atau 22 kerusi. Itu unjuran terbaik kami," katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu program di Dataran Melang, Kampung Gemelang, Kuala Pilah pada malam Khamis.Amirudin berkata, kempen PH akan diteruskan sehingga tamat tempoh berkempen pada tengah malam Jumaat dengan fokus meyakinkan pengundi berdasarkan pencapaian kerajaan negeri sepanjang dua penggal lalu.ARTIKEL BERKAITAN: Abdul Hadi minta penyokong PAS undi BN dalam PRN Negeri SembilanMengulas prestasi pilihan raya sebelum ini, beliau berkata PH memenangi 20 kerusi DUN pada 2018, manakala kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) pada 2023 membentuk gabungan yang menguasai 31 kerusi.Bagaimanapun, katanya, situasi kali ini berbeza berikutan perubahan landskap politik dan penjajaran baharu yang menjadikan saingan lebih mencabar."Kami sedar cabaran kali ini berbeza dan sedang berusaha mendapatkan jumlah kerusi yang selesa bagi memastikan kerajaan negeri dapat terus dibentuk," ujarnya.Dalam pada itu, Amirudin menolak dakwaan kononnya berlaku 'gelombang biru' yang dikatakan merebak ke Negeri Sembilan selepas pilihan raya negeri di Johor.Menurutnya, dakwaan tersebut hanyalah naratif yang cuba dibawa oleh BN."Itu naratif yang cuba diwujudkan. Negeri Sembilan mempunyai sejarah kepimpinan tersendiri serta kekuatan Menteri Besarnya."Sebelum ini kami juga berjaya bertahan dan menyerap 'gelombang hijau' di Selangor serta Negeri Sembilan."Pilihan raya kali ini mempunyai dinamik baharu. Kami akan terus menawarkan penyelesaian berteraskan konsep Malaysia Madani dan perpaduan nasional, bukannya retorik yang memecahbelahkan rakyat mengikut kaum," katanya. -The Star