Pemilik masih mempunyai hak terhadap kenderaan mereka walaupun berada di dalam depoh — Foto FAIHAN GHANI/SMG
TEMPOH masa yang panjang bukan alasan untuk pihak berkuasa tempatan (PBT) melupuskan sesebuah kenderaan terbiar tanpa mematuhi prosedur undang-undang.Peguambela, Peguamcara dan Peguam Syarie dari Syed Anwar & Co, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim berkata, walaupun kenderaan berkenaan sudah lama tersadai di depoh, hak milik pemilik berdaftar terhadap kenderaan itu tidak terhapus begitu sahaja. “Pada pandangan saya, tempoh masa semata-mata tidak menyebabkan hak milik seseorang terhadap kenderaannya terhapus.“Walaupun kenderaan itu sudah lama tersadai di depoh, ia masih dianggap harta milik pemilik berdaftar. Sebab itu PBT perlu berhati-hati sebelum mengambil tindakan pelupusan,” katanya.Menurutnya, kenderaan yang dilihat sebagai besi buruk oleh orang ramai masih mempunyai pemilik dari sudut undang-undang.Kereta terbiar boleh membawa risiko penyakit kepada penduduk sekitar. -Foto CHAN BOON KAI/SMGBeliau berkata, hak milik merupakan hak yang dilindungi undang-undang dan pemilik perlu diberikan notis serta peluang munasabah untuk menuntut semula kenderaan sebelum ia dilupuskan.“Jadi, bukan pemilik yang menghalang pelupusan, tetapi undang-undang yang mewajibkan proses tertentu dipatuhi bagi melindungi hak tersebut,” katanya.Mengulas sama ada isu berkenaan menunjukkan wujud konflik antara hak individu dan kepentingan awam, Syed Muhammad Anwar berkata, kedua-dua kepentingan itu sememangnya perlu diseimbangkan.“Di satu pihak, undang-undang perlu melindungi hak pemilik. Di pihak yang lain, PBT perlu mengurus ruang awam dan kos penyimpanan kenderaan yang tidak dituntut.“Cabarannya ialah mencari keseimbangan antara kedua-dua kepentingan ini,” katanya.Menurutnya, secara ringkasnya, pihak berkuasa perlu mengenal pasti pemilik kenderaan, mengeluarkan notis dan memberikan tempoh munasabah untuk pemilik tampil menuntut semula kenderaan tersebut.Pemilik sukar dikesanKatanya, hanya selepas semua prosedur yang ditetapkan dipatuhi, barulah tindakan pelupusan boleh dilakukan.Mengulas perkara yang menyebabkan proses pelupusan menjadi terlalu lama, beliau berkata, antara cabaran utama adalah apabila pemilik sukar dikesan.“Ada yang sudah berpindah, meninggal dunia atau tidak mengemas kini maklumat mereka.“Selain itu, kadang-kadang perlu dibuat semakan dengan agensi lain bagi memastikan kenderaan tersebut tidak terlibat dalam kes jenayah atau pertikaian pemilikan,” katanya.Syed Anwar menasihatkan PBT untuk berhati-hati sebelum mengambil tindakan pelupusan.Dalam pada itu, Syed Muhammad Anwar berpandangan bahawa prosedur sedia ada masih mempunyai ruang untuk ditambah baik, khususnya dengan memanfaatkan teknologi digital.Katanya, perlindungan terhadap hak pemilik perlu dikekalkan, namun proses pengurusan kenderaan terbiar perlu dipermudah dan dipercepatkan.“Banyak prosedur masih bergantung kepada kaedah tradisional sedangkan kita sudah berada dalam era digital.“Perlindungan terhadap hak pemilik perlu dikekalkan, tetapi prosesnya juga perlu lebih cekap supaya depoh PBT tidak terus menjadi ‘tanah perkuburan kenderaan’ hanya kerana proses pelupusan terlalu panjang dan kompleks,” katanya.