suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Rakyat jadi mangsa impak domino! FOMCA bimbang krisis kereta terbiar makin bebankan pengguna

Meskipun baru sahaja dibuka pada Mei 2024, Depoh DBKL Pantai Sentral di Pantai Dalam kini sudah mencapai kapasiti penuh, memaksa kereta terbiar disusun sehingga dua tingkat. -Foto YAP CHEE HONG/SMG

LAMBAKAN kenderaan tersadai di depoh PBT tidak boleh dipandang sebagai krisis pengurusan ruang semata-mata.

Lebih mendalam daripada itu, ia memberi kesan secara terus mahupun tidak langsung kepada kehidupan harian orang ramai.

Ketua Pegawai Operasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Nur Asyikin Aminuddin berkata, kekurangan ruang di depoh menyebabkan banyak kenderaan usang tidak dapat dialihkan.

Akibatnya, 'besi buruk' ini terus tersadai di tepi jalan dan kawasan parkir awam untuk tempoh yang sangat lama.

Menurutnya, keadaan itu bukan sahaja mengganggu kelancaran lalu lintas dan mengurangkan ruang parkir, malah mencemarkan pemandangan persekitaran serta membawa risiko keselamatan dan kesihatan awam.

Kereta terbiar ditinggalkan di sepanjang Jalan Jinjang Permai 8, Kuala Lumpur. -Foto AZLINA ABDULLAH/SMG

Kereta terbiar ditinggalkan di sepanjang Jalan Jinjang Permai 8, Kuala Lumpur. -Foto AZLINA ABDULLAH/SMG

“Walaupun kesannya mungkin tidak dirasai secara langsung oleh semua pengguna, hakikatnya rakyat tetap menanggung kos tidak langsung akibat isu ini.

“Apabila kenderaan terbiar memenuhi ruang parkir awam, pengguna terpaksa mencari lokasi lain yang mungkin mengenakan caj lebih tinggi atau meletakkan kenderaan di bahu jalan dan kawasan yang tidak sepatutnya,” katanya kepada mStar.

Beliau berkata, situasi itu bukan sahaja meningkatkan kos dan masa yang diperlukan untuk mendapatkan parkir, malah berpotensi menyebabkan kesesakan lalu lintas, risiko saman serta menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.

Kekangan prosedur

Mengulas persoalan jika sistem sedia ada lebih memihak kepada pemilik kenderaan berbanding kepentingan awam, Nur Asyikin berkata, isu berkenaan sebenarnya lebih berkait dengan kekangan prosedur dan birokrasi.

Jelasnya, proses pelupusan kenderaan terbiar perlu melalui pelbagai peringkat yang rumit termasuklah proses mahkamah yang memakan masa terlalu panjang sehingga menjejaskan keupayaan PBT untuk menguruskan kenderaan berkenaan dengan berkesan.

“FOMCA menyambut baik cadangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi memberikan kuasa yang lebih jelas kepada PBT.

“Namun, sebarang pindaan perlu disertai mekanisme semak dan imbang yang telus supaya hak pemilik kenderaan terus dilindungi, di samping memastikan kepentingan awam tidak dikompromi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berpandangan PBT perlu mendedahkan secara berkala kos yang ditanggung bagi penyimpanan, pengurusan, penyelenggaraan depoh serta pelupusan kenderaan terbiar.

Langkah itu tegasnya penting supaya orang ramai dapat memahami beban kewangan yang dipikul PBT, selain memastikan setiap sen dana awam digunakan secara berhemah.

“Ketelusan ini juga dapat meningkatkan akauntabiliti, mengukuhkan keyakinan masyarakat terhadap tindakan PBT serta menjadi asas kepada penambahbaikan dasar dan prosedur pengurusan kenderaan terbiar,” katanya.

Nur Asyikin berpandangan lambakan kenderaan tersadai boleh mendatangkan risiko keselamatan kepada pengguna.

Nur Asyikin berpandangan lambakan kenderaan tersadai boleh mendatangkan risiko keselamatan kepada pengguna.

Menyentuh mengenai kelemahan dalam pengurusan PBT, Nur Asyikin berkata isu berkenaan secara asasnya lebih berpunca daripada kekangan kuasa dan kerangka perundangan sedia ada yang agak terhad.

Beliau memberi contoh dalam banyak keadaan khususnya di kawasan strata, bidang kuasa PBT adalah terhad kerana pengurusan kawasan berkenaan terletak di bawah tanggungjawab Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC).

“Namun, sekiranya JMB atau MC bekerjasama dan mendapatkan bantuan PBT untuk mengalihkan kenderaan terbiar, isu ini boleh ditangani dengan lebih berkesan.

“Penyelesaian memerlukan kerjasama erat antara PBT, JMB, MC dan agensi berkaitan, selain penambahbaikan terhadap peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa dalam situasi ini, sebenarnya semua pihak menanggung kerugian.

PBT terpaksa menanggung kos penyimpanan, pengurusan, dan pelupusan yang bukannya kecil.

Pada masa sama, pengguna pula menjadi 'mangsa' akibat sukar mendapat parkir, berdepan kesesakan, serta terdedah kepada persekitaran yang tidak selesa dan berisiko.

“Dalam jangka masa panjang, peningkatan kos pengurusan ini akhirnya ditanggung secara tidak langsung oleh masyarakat kerana dana PBT diperoleh daripada hasil kutipan cukai, fi dan caj yang dibayar rakyat.

“Semakin lama isu ini tidak diselesaikan, lebih besar pembaziran sumber awam. Kesannya keupayaan PBT untuk menyalurkan peruntukan kepada perkhidmatan lain yang lebih bermanfaat buat masyarakat akan terus terjejas

Bagi menangani isu itu, FOMCA mencadangkan penambahbaikan secara menyeluruh membabitkan aspek undang-undang, prosedur serta kerjasama antara agensi.

Nur Asyikin berkata, pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) adalah langkah wajar sekiranya ia dapat memberikan kuasa lebih jelas kepada PBT untuk mengurus, melupuskan atau melelong kenderaan terbiar dalam tempoh yang munasabah.

Walau bagaimanapun, hak pemilik kenderaan asal perlu terus dilindungi secara adil melalui prosedur notis, tempoh tuntutan dan saluran rayuan yang telus.

Selain itu, FOMCA turut mencadangkan supaya satu garis panduan nasional diwujudkan bagi menyeragamkan tatacara pengendalian kenderaan terbiar di semua PBT di seluruh negara.

Garis panduan berkenaan perlu merangkumi proses mengenal pasti kenderaan terbiar, tempoh notis kepada pemilik, kaedah penyimpanan, pelupusan atau lelongan serta pembahagian tanggungjawab antara PBT, polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), JMB dan MC.

“Pada masa sama, mekanisme pelaporan kepada orang awam dan kempen kesedaran perlu dipertingkatkan supaya pemilik memahami tanggungjawab mereka untuk melupuskan kenderaan yang tidak lagi digunakan dan hingga menjadi beban kepada masyarakat,” katanya.

Artikel Lain