suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Lambakan kereta terbiar boleh jadi ‘bom jangka’ alam sekitar dan keselamatan

Keadaan depoh kereta terbiar DBKL di Depoh DBKL Connaught, Kuala Lumpur. — Foto FAIHAN GHANI/SMG

MASALAH lambakan kereta terbiar dan kenderaan tamat hayat atau End-of-Life Vehicle (ELV) di negara ini tidak boleh lagi dipandang sebagai isu penguatkuasaan biasa atau 'cacat pemandangan' semata-mata.

Sebaliknya, ia patut dilihat sebagai krisis nasional yang membawa implikasi besar terhadap alam sekitar, keselamatan awam, ekonomi kitaran, tadbir urus, serta kehidupan harian masyarakat.

Pengarah Pejabat Kelestarian Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Azharudin Ali berkata, Malaysia kini berada di ambang garis masa kritikal apabila krisis kenderaan terbiar dan ELV ini tidak boleh lagi dipandang remeh.

Menurut beliau, berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sebanyak 38.7 juta kenderaan direkodkan berdaftar di Malaysia sehingga 30 Mac 2026, satu angka yang sudah pun melepasi jumlah keseluruhan penduduk negara.

“Daripada jumlah itu, lebih 15 juta kenderaan atau hampir 39 peratus dikenal pasti tidak lagi aktif kerana gagal memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi tempoh tiga tahun atau lebih.

“Sebahagian besar kenderaan tidak aktif ini dipercayai terdiri daripada ELV yang tersadai di kawasan perumahan dan parkir awam,” katanya.

Ada risiko kesihatan bagi mereka yang tinggal berdekatan kawasan kereta terbiar. -Foto —CHAN BOON KAI/SMG

Ada risiko kesihatan bagi mereka yang tinggal berdekatan kawasan kereta terbiar. -Foto CHAN BOON KAI/SMG

Beliau berkata, keadaan itu berpotensi menjadi ‘bom jangka’ yang membawa pelbagai risiko termasuk pencemaran cecair toksik, pembiakan vektor penyakit, masalah kebersihan, kerosakan alam sekitar serta ancaman keselamatan komuniti.

Menurutnya, negara maju seperti Jepun, Singapura dan negara anggota Kesatuan Eropah (EU) sudah lama mengiktiraf bahawa setiap kenderaan mempunyai had kitaran hayat dan perlu dikeluarkan daripada sistem pendaftaran secara rasmi apabila tidak lagi selamat, ekonomik atau mesra alam.

“Melalui konsep Extended Producer Responsibility (EPR) dan sistem pengurusan ELV yang sistematik, kenderaan yang tamat hayatnya diuruskan secara terkawal sebelum komponennya diurai menjadi sumber sekunder bernilai.

“Namun, Malaysia masih berdepan kelompongan dalam sistem pengurusan ELV yang komprehensif menyebabkan jutaan kenderaan lapuk dan tidak selamat terus berada dalam sistem pendaftaran negara,” katanya.

Azharudin berkata, walaupun terdapat usaha pihak berkuasa tempatan, termasuk pelupusan 13,711 kenderaan terbiar antara 2021 hingga 2023, skala tindakan itu masih kecil berbanding jumlah kenderaan tidak aktif yang terus meningkat setiap tahun.

Bagaimanapun, beliau melihat inisiatif kerajaan menerusi Belanjawan 2026 yang memperkenalkan Program Geran Padanan Penggantian Kenderaan Lama sebagai langkah positif.

Katanya, insentif pelupusan sehingga RM4,000 bagi kenderaan berusia lebih 20 tahun berpotensi menjadi pemangkin awal kepada pembentukan ekosistem pengurusan ELV yang lebih menyeluruh.

Risiko alam sekitar

Mengulas kepentingan sistem ELV, Azharudin berkata, kenderaan terbiar tidak boleh hanya dilihat sebagai ‘besi buruk’ kerana ia mengandungi pelbagai bahan berbahaya.

Katanya, antara bahan yang boleh mencemarkan alam sekitar ialah minyak enjin, cecair transmisi, bendalir brek, bahan pendingin serta logam berat seperti plumbum, merkuri dan kadmium.

“Tanpa sistem ELV yang sah dan mampan, bahan kimia ini boleh meresap ke dalam tanah dan sistem air bawah tanah sebelum mengalir ke sungai.

“Keadaan itu bukan sahaja menjejaskan ekosistem akuatik, malah berpotensi meningkatkan kos rawatan air bersih negara,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, pengurusan ELV yang teratur boleh menyokong ekonomi kitaran menerusi konsep ‘perlombongan bandar’ atau urban mining.

Menurutnya, kenderaan usang mengandungi bahan bernilai seperti keluli, aluminium, tembaga dan logam berharga yang boleh dikitar semula untuk menyokong industri pembuatan tempatan.

“Langkah ini berpotensi mengurangkan kebergantungan kepada perlombongan bahan mentah baharu yang mempunyai jejak karbon tinggi,” katanya.

Keselamatan awam turut terjejas

Dari sudut sosial pula, beliau berkata, lambakan kenderaan terbiar di kawasan perumahan boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes, persembunyian haiwan berbisa serta lokasi berlakunya aktiviti jenayah.

Malah, katanya, kenderaan terbiar di kawasan flat, apartmen dan kondominium turut memonopoli ruang parkir yang terhad.

“Keadaan ini menyebabkan penduduk terpaksa meletakkan kenderaan secara berlapis atau di bahu jalan sehingga berpotensi menghalang laluan kenderaan kecemasan seperti ambulans dan jentera bomba.

“Kenderaan yang mereput juga boleh menurunkan nilai hartanah sekitar dan mencetuskan konflik sosial akibat perebutan ruang awam,” katanya.

Azharudin berpendapat ketiadaan sistem ELV yang menyeluruh turut menjejaskan integriti data kenderaan negara.

Azharudin berpendapat ketiadaan sistem ELV yang menyeluruh turut menjejaskan integriti data kenderaan negara.

Beliau turut memberi amaran bahawa ketiadaan dasar had hayat kenderaan yang jelas boleh mendedahkan pengguna jalan raya kepada risiko keselamatan.

Katanya, kenderaan berusia lebih 20 tahun mungkin tidak dilengkapi ciri keselamatan moden, manakala komponen seperti brek dan casis yang mengalami kemerosotan boleh menyebabkan kegagalan mekanikal.

Bagaimanapun, Azharudin menegaskan Malaysia tidak boleh meniru bulat-bulat model negara maju seperti Singapura yang menggunakan sistem Certificate of Entitlement (COE).

Menurutnya, pendekatan itu tidak sesuai dilaksanakan tanpa mengambil kira jurang pendapatan dan kebergantungan penduduk luar bandar terhadap kenderaan lama.

“Penduduk di Sabah, Sarawak, kawasan utara dan Pantai Timur masih banyak bergantung kepada kenderaan lama kerana pengangkutan awam belum menyeluruh.

“Jika pelupusan diwajibkan berdasarkan usia tanpa menyediakan alternatif pengangkutan atau subsidi penggantian yang mencukupi, ia boleh menekan golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Justeru, beliau berpandangan Malaysia perlu menggunakan pendekatan berasaskan insentif seperti geran padanan penggantian kenderaan lama.

Sistem ELV penting bersihkan data negara

Dalam aspek tadbir urus, Azharudin berkata, ketiadaan sistem ELV yang menyeluruh turut menjejaskan integriti data kenderaan negara.

Katanya, terdapat kemungkinan kenderaan yang sudah rosak teruk, musnah dalam kemalangan atau dilupuskan secara tidak rasmi masih direkodkan dalam sistem sebagai kenderaan aktif.

“Keadaan ini boleh menjejaskan ketepatan perancangan kerajaan berkaitan pengangkutan awam, infrastruktur jalan raya dan sasaran pengurangan karbon.

“Ia juga boleh menimbulkan isu keselamatan serta menyukarkan pengesanan kenderaan klon atau kenderaan yang digunakan dalam aktiviti pasaran gelap,” katanya.

Beliau mencadangkan supaya sistem pengurusan kenderaan dilaksanakan berasaskan konsep penjejakan kitaran hayat daripada pendaftaran sehingga pelupusan.

Katanya, penggunaan Sijil Pelupusan Digital atau Certificate of Destruction (CoD) boleh membantu memastikan kenderaan yang dilupuskan dinyahdaftar secara rasmi daripada sistem.

Bagaimanapun, beliau berkata, pelaksanaan sistem ELV di Malaysia memerlukan penyelarasan antara Kementerian Pengangkutan, JPJ, KPKT, PBT dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Jika struktur tadbir urus luar negara diadaptasi tanpa mengambil kira realiti Malaysia, ia hanya boleh menambah birokrasi.

“Malaysia memerlukan satu kerangka ELV hibrid yang tegas dari segi pematuhan alam sekitar dan ketelusan data, namun pada masa sama inklusif serta mengambil kira realiti sosioekonomi rakyat,” katanya.

Menurutnya, reformasi ELV bukan lagi pilihan tetapi keperluan bagi memastikan Malaysia dapat mengurus isu alam sekitar, melindungi keselamatan dan kesihatan masyarakat serta memperkukuh integriti data nasional.

“Malaysia perlu menghentikan kemusnahan alam sekitar, menjaga nyawa dan keharmonian masyarakat serta membersihkan integriti data nasional.

“Namun, pelaksanaannya tidak boleh ditiru secara bulat-bulat daripada negara maju. Kita memerlukan model yang sesuai dengan keadaan dan keperluan rakyat Malaysia,” katanya.

Artikel Lain