Beginilah keadaan sebahagian kenderaan yang terbiar dan terbengkalai tanpa dipedulikan pemiliknya di sekitar Selangor.
MENCARI petak parkir kosong kini bukan lagi sekadar perkara biasa,sebaliknya sudah menjadi rutin harian yang memenatkan bagi kebanyakan pengguna jalan raya, khususnya di kawasan perumahan dan pusat bandar berkepadatan tinggi seperti di Shah Alam, Selangor.Namun, keadaan menjadi lebih mengecewakan apabila sebahagian ruang parkir yang sepatutnya dimanfaatkan orang ramai terus dipenuhi kenderaan usang dan terbengkalai, dipercayai sudah sekian lama ditinggalkan pemiliknya begitu sahaja.Keadaan tayar kempis, timbunan daun kering di bonet serta deretan notis saman yang semakin lusuh pada cermin hadapan turut menjadi bukti jelas bahawa kenderaan itu sudah lama tersadai tanpa berganjak dari petak berkenaan. Situasi berterusan ini sekali gus mencetuskan rungutan berpanjangan dalam kalangan pengguna jalan raya, terutama di kawasan parkir awam seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kawasan perumahan.Meluahkan keresahan tersebut, salah seorang penduduk Shah Alam, Hanim Zulkifli berkata, masalah parkir bukan lagi isu remeh kerena ia kini nyata mengganggu rutin harian, terutamanya di kawasan yang sesak dengan premis perniagaan dan institusi pendidikan.Hanim berkongsi pengalaman sukar mendapatkan parkir di sekitar Seksyen 7.Katanya, di kawasan pusat komersial seperti Seksyen 7, petak parkir lazimnya dipenuhi kenderaan pelanggan, pekerja bengkel dan pelajar sehingga memaksanya meletakkan kenderaan jauh dari destinasi yang ingin dituju."Kalau di kawasan pusat komersial memang susah nak dapat parkir. Saya pernah nak pergi ke kedai kopi di Seksyen 7, tapi terpaksa parkir di belakang bangunan sebab semua petak penuh."Di kawasan perumahan pula, memang ada banyak kereta yang dipercayai sudah lama tidak digunakan dibiarkan di tepi rumah orang. Nak cari parkir pun susah," katanya sambil meluahkan kebimbangan sekiranya kenderaan lama yang tersadai itu menjadi sarang haiwan berbisa seperti ular.Isu sama turut tular di media sosial apabila seorang pengguna Threads mempersoalkan mengapa sebuah kereta yang didakwa sudah lama ditinggalkan masih berada di petak parkir walaupun dipenuhi notis saman."Kereta saya kena saman tak mengapa, tapi kereta sebelah ini sejak dulu kala... sudah 365 hari saman masih ada," tulisnya.Keadaan kereta yang dibiarkan dalam keadaan usang dan dipenuhi notis saman.Perkongsian itu dengan pantas mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-rata meluahkan rasa kecewa dan simpati terhadap situasi sama yang didakwa turut berlaku di kawasan penempatan masing-masing.Malah, ada yang mendakwa kenderaan rosak yang dibiarkan terlalu lama bukan sahaja menjadi tempat longgokan daun kering dan habuk, tetapi juga berisiko menjadi tapak pembiakan nyamuk Aedes dan tempat bersembunyi haiwan berbisa.“Dekat area pejabat saya di Subang Jaya pun sama, ada kereta terbengkalai yang penuh dengan kompaun sampai dah reput kena hujan panas,” kongsi seorang lagi pengguna Thread.Susulan itu, sebahagian pelayar media sosial lain turut mempersoalkan mengapa tindakan menunda (towing) tidak dapat dilakukan dengan lebih lebih awal bagi mengosong petak parkir untuk kegunaan umum.Keadaan ini turut menimbulkan persepsi bahawa tindakan mengalihkan kenderaan tersadai memakan masa terlalu lama.Akibatnya, kemudahan awam terjejas, terutamanya di kawasan yang berdepan krisis kekurangan ruang meletak kenderaan.Rata-rata warga maya turut menyuarakan rasa hairan memikirkan bagaimana situasi itu boleh dibiarkan berlaku.“Sepatutnya ada undang-undang khusus untuk isu kereta yang tersadai di petak parkir. Kalau sudah lebih lima tahun, lupuskan sahaja. Sudah jadi besi buruk, mahu buat apa lagi,” luah seorang lagi pelayar.Namun di sebalik dakwaan tindakan lambat, pandangan masyarakat bahawa ia sekadar 'kereta tersadai' sebenarnya melibatkan rantaian penguatkuasaan yang panjang dan Rumit.Tugas PBT tidak berakhir sebaik kenderaan disita kerana ada rentetan prosedur dan undang-undang yang perlu dipatuhi sebelum sesuatu kenderaan itu boleh dipulangkan atau dilupuskan.Menerusi laporan khas ini, mStar meninjau Depoh Simpanan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang menempatkan ratusan kenderaan sitaan hasil operasi penguatkuasaan di sekitar bandar raya itu.Ia bagi merungkai apa sebenarnya berlaku ke atas kenderaan-kenderaan yang disita selepas ditunda keluar dari petak parkir.