suria

Bapa terpaksa dialisis selepas setahun amal ‘produk dalam talian’, lelaki rayu pantau pembelian online orang tua

Seorang warga emas menghidap masalah buah pinggang selepas mengamalkan produk minuman yang dibeli dalam talian.

SEORANG lelaki mendedahkan bapanya disahkan menghidap penyakit buah pinggang tahap lima selepas lebih setahun mengamalkan sejenis produk minuman yang dibeli di sebuah platform media sosial.

Lelaki berkenaan menjelaskan produk itu dibeli sendiri oleh bapanya tanpa pengetahuan anak-anak.

Susulan itu, warga emas itu terpaksa menjalani rawatan dialisis akibat kerosakan buah pinggangnya.

"Ayah aku sudah setahun lebih terpedaya dengan produk dibeli dekat laman sosial. Buah pinggang kronik tahap lima. Terpaksa dialisis," katanya.

Tambahnya, sebelum mengamalkan minuman tersebut bapanya hanya mempunyai masalah kencing manis dan darah tinggi.

Lelaki tersebut turut menyarankan agar merujuk kepada doktor terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pembelian terutamanya bagi ibu bapa yang mempunyai penyakit kronik.

"Kalau nak beli ubat atau makan ubat pastikan ada kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Bukan berniat nak mengaibkan atau menjatuhkan sesiapa. Sebaiknya dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu," katanya.

Justeru, dia berharap orang ramai memantau pembelian dibuat ibu bapa di media sosial khususnya berkaitan ubat-ubatan atau suplemen yang kononnya dapat merawat masalah diabetes atau darah tinggi.

"Tolong pantau mak ayah, kadang orang tua ini suka berahsia. Kalau beli barang tidak mengapa. Kalau berkaitan makanan, minuman kesihatan ini kita tak nampak kesannya.

"Mungkin sebulan dua kita rasa okay. Kedepan kita tak tahu musibah yang akan datang," ujarnya.

 

 

 

Artikel Lain