SEORANG warga emas maut selepas dirempuh bas ekspres di Jalan Melaka Sentral, Melaka, petang Jumaat.Dalam kejadian pukul 3 petang itu, lelaki berusia 65 tahun berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala. Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, laporan mengenai kejadian diterima pada pukul 3.21 petang.Menurutnya, siasatan awal mendapati bas ekspres tersebut sedang memasuki laluan ke Terminal Bas Melaka Sentral untuk menuju ke kawasan parkir sebelum mengambil penumpang.Katanya, bas itu berhenti seketika berhampiran lintasan pejalan kaki sebelum bergerak semula."Ketika itu, mangsa yang beralamat di Pantai Peringgit berada berhampiran bas cuba melintas jalan namun dirempuh bas terbabit. "Akibatnya, mangsa yang tidak bekerja disahkan meninggal dunia di lokasi. Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat. "Pemandu bas, lelaki berusia 56 tahun yang mahu mengambil penumpang untuk ke Singapura tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.Christopher berkata, ujian saringan air kencing terhadap pemandu bas beralamat di Johor Bahru itu negatif bahan terlarang dan semakan mendapati tiada saman tertunggak.Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi sudah dikenal pasti bagi membantu siasatan, manakala bas terbabit ditahan untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.Sementara itu, video kejadian yang dikongsi orang awam menunjukkan mangsa terbaring di atas jalan dengan tubuhnya ditutupi payung dan alas biru sebelum bantuan tiba.