suria

STR dan SARA pemilik enam rumah sewa ditarik balik

Tindakan menunjuk harta dimiliki mengundang padah apabila kelayakan ditarik balik oleh kerajaan. -Gambar hiasan AI

KEMENTERIAN Kewangan (MOF) menarik balik kelayakan seorang lelaki daripada menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) selepas dia mengaku memiliki enam buah rumah sewa.

MoF memaklumkan kepada Buletin TV3 bahawa lelaki berkenaan kini sedang disiasat di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 kerana disyaki gagal mengisytiharkan pendapatan hasil sewaan hartanah.

"Siasatan lanjut telah dijalankan dan mendapati bahawa pemilikan hartanah tersebut adalah benar.

"Berdasarkan maklumat pindah milik yang direkodkan dalam sistem e-Duti Setem Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), hartanah berkenaan didaftarkan atas nama penerima dan pasangannya.

"Susulan siasatan dan penemuan ini, kelulusan STR dan SARA dia telah ditarik balik," katanya.

Terdahulu, satu hantaran tular di media sosial apabila seorang lelaki mendedahkan bahawa dia menerima bantuan STR dan SARA berjumlah RM1,900 setahun, selain mengakui memiliki enam hartanah sewaan yang dibeli sejak 2007.

Tangkap layar yang tular di media sosial berikutan hantaran dikongsikan individu terbabit.

"Syukur lulus MyKasih dengan STR satu tahun RM1,900 je. Orang tanya kenapa aku masih berada dalam B40 sedangkan ada enam buah rumah sewa?

"Sebab aku nak anak-anak aku dapat biasiswa JPA. Satu anak buat ijazah sama dengan RM65,000 ditanggung kerajaan. STR 10 tahun pun baru RM19,000. Masa depan anak aku jauh lebih bernilai.

"Sebab tu aku tahan nak beli kereta elektrik, nak itu ini. Ayah ni tak minta banyak. Cukup dapat tengok anak-anak berjaya. Itu kaya sebenar," tulisnya dalam hantaran itu.

Perkongsian berkenaan kemudian dipadam selepas menerima kecaman ramai yang mempersoalkan kewajaran lelaki itu masih layak menerima bantuan berdasarkan aset dimiliki.

Isu tersebut turut mencetuskan perdebatan dalam kalangan orang ramai yang menggesa supaya pemilikan hartanah dijadikan antara kriteria penilaian kelayakan bantuan kerajaan.

Pada Rabu, MOF mengeluarkan kenyataan mengingatkan semua pemohon agar memberikan maklumat yang tepat dan benar ketika memohon bantuan kerajaan.

Sekiranya didapati wujud maklumat palsu atau tidak tepat, tindakan undang-undang boleh diambil, selain kerajaan berhak menarik balik mana-mana bantuan yang diluluskan.

Artikel Berikut

Bekas wartawan FMT ditahan

Artikel Lain