suria

Bekas wartawan FMT ditahan

Soalan yang berunsur perkauman boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan. -Gambar hiasan

BEKAS wartawan Free Malaysia Today (FMT), Rex Tan, ditahan sekitar pukul 12.45 tengah malam, Sabtu selepas dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Penahanan itu disahkan oleh peguamnya, Rajsurian Pillai, yang berkata Rex ditahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan.

Rex ditahan susulan satu soalan sensitif yang didakwa mengandungi unsur perkauman yang dikemukakan semasa sebuah wacana awam di Kuala Lumpur, Isnin lalu.

Rajsurian berkata kes itu sedang disiasat serta dikendalikan oleh pasukan dari Bukit Aman.

Pada Jumaat, laporan media menyatakan Rex telah meletakkan jawatan daripada FMT, sehari selepas wartawan itu memohon maaf berhubung soalan mencetuskan kontroversi yang dikemukakannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Majlis Media kecam pendedahan maklumat peribadi, ugutan terhadap wartawan FMT

Insiden itu berpunca daripada sebuah syarahan awam bertajuk "Gaza Exposes the Complicity of International Actors" yang diadakan, menampilkan ahli politik Britain, George Galloway, di mana wartawan itu mengemukakan soalan yang kemudiannya mendapat kritikan meluas di internet.

FMT seterusnya mengeluarkan permohonan maaf, menyatakan bahawa pihaknya tidak mengetahui niat wartawan berkenaan untuk mengemukakan soalan tersebut terlebih dahulu dan tidak menyokong kenyataan terbabit.

FMT turut menambah bahawa tindakan disiplin telah diambil susulan siasatan dalaman.

Sebelum ini, Majlis Media Malaysia mengecam tindakan mendedahkan maklumat peribadi (doxxing), gangguan, ugutan dan ancaman terhadap wartawan susulan kecaman terhadap Rex. -The Star

Artikel Lain