SEMBILAN juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) boleh menarik nafas lega apabila turut menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bermula tahun hadapan.
Menerusi Bajet 2026, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, penerima SARA diberikan sejumlah RM100 setiap bulan atau RM1,200 setahun.
"Manakala, satu juta penerima STR di bawah eKasih menerima SARA sehingga RM200 sebulan atau RM2,400 setahun," ujarnya dalam pembentangan Belanjawan 2026 di Parlimen pada Jumaat.
Bagi kategori bujang pula, ujar beliau, sejumlah RM600 iaitu 50 ringgit sebulan akan disalurkan melalui SARA.
"Kadar maksimum diterima isi rumah ialah RM4,600 iaitu pendapatan bawah RM2,500 sebulan dengan lima anak menerima STR RM2,200 ringgit dan SARA RM2,400," tambahnya.
Untuk rekod, SARA adalah program bantuan kewangan tambahan yang diberikan kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah yang merupakan keluarga miskin dan miskin tegar menerusi pengkreditan ke MyKad.
Semakan baki SARA dalam akaun MyKad penerima boleh dilakukan melalui portal rasmi MyKasih https://app.mykasih.net/sara2/checkstatus.


