suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Kubur Zara Qairina akan digali semula, Jabatan Peguam Negara arah bedah siasat

Zara (kiri) disahkan meninggal dunia selepas didakwa terjatuh tingkat 3 asrama sekolahnya.

KUBUR Allahyarham Zara Qairina Mahathir akan digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar Tingkatan 1 itu.

Arahan itu diberikan Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi memastikan polis memperoleh maklumat serta bukti tambahan yang diperlukan untuk melengkapkan siasatan kes kematian remaja terbabit.

Menerusi kenyataan pada Jumaat, AGC berkata hasil penelitian terhadap laporan siasatan awal menunjukkan terdapat keperluan untuk siasatan lanjut diambil pihak polis bagi memastikan semua aspek siasatan dilaksanakan secara menyeluruh.

"Sehubungan itu, laporan penuh siasatan awal telah dikembalikan semula kepada polis bersama beberapa arahan termasuk keperluan untuk menggali semula mayat Zara Qairina.

"Laporan itu dibuat bagi membolehkan prosedur bedah siasat (post-mortem) dijalankan ke atas jenazah," tambah kenyataan itu.

Terdahulu, ibu Allahyarham, Noraidah Lamat mengarahkan peguam yang mewakili keluarganya menguruskan proses penggalian semula kubur anaknya bagi tujuan bedah siasat.

Noraidah sebelum ini meluahkan rasa kesal apabila mendakwa pengebumian jenazah anaknya pada malam 17 Julai lalu dilakukan tanpa sebarang bedah siasat kerana tiada pihak mencadangkan tindakan itu kepadanya.

Luahan itu timbul susulan kematian tragis Zara Qairina yang dikatakan terjatuh dari tingkat tiga asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Papar, Sabah pada 16 Julai lalu yang dikaitkan dengan dakwaan insiden buli. 

Zara disahkan meninggal dunia keesokan harinya (17 Julai).

Artikel Lain