suria

Suami mengamuk tengah malam, hentak anak isteri guna botol arak sampai pipi terkoyak!

Mencederakan anak dan isteri adalah satu kesalahan jenayah. -Gambar hiasan

SEORANG wanita dan anak lelakinya berusia 10 tahun parah selepas dipukul suami sendiri dalam kejadian di Kampung Tanjung Aru, Sabah pada awal pagi Khamis.

Timbalan Ketua Polis Labuan, Deputi Superintendan Robin @ Ridzuan Ismail berkata suspek, warga India berusia 34 tahun yang juga suami kepada mangsa bertindak agresif selepas berlaku pertengkaran.

"Suspek memukul mangsa berusia 38 tahun menggunakan sebotol minuman keras hingga menyebabkan isterinya cedera di hidung, mulut dan belakang kepala.

"Manakala anak lelakinya mengalami koyakan serius di bahagian pipi kiri dan kedua-dua mangsa kini dirawat di Hospital Labuan," kata Robin dalam kenyataan pada Jumaat.

Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan berjaya menahan suspek pada pukul 8 malam, hari yang sama.

Susulan itu, suspek ditahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.

Jika disabitkan dengan kesalahan, lelaki itu berdepan dengan hukuman penjara 20 tahun dan denda atau sebat.

Artikel Lain