USAHAWAN Mariyah Yaakob atau lebih dikenali sebagai Makcik Kemboja diceraikan suaminya ketika sedang melakukan penstriman langsung (live) di aplikasi TikTok.
Difahamkan, ketika itu usahawan berkenaan sedang dalam perjalanan ke Mahkamah Syariah Johor Bahru untuk memfailkan penceraian, setelah mendakwa dianiaya kerana digantung tak bertali.
Sewaktu sesi penstriman langsung itu, suaminya menulis pada ruangan komen... Dengan lafaz Bismillah Mariyah Bt Yaakob aku ceraikan kau.
Untuk rekod, ayat yang sama ditulis sebanyak lima kali.
ARTIKEL BERKAITAN: Padah hina bangsa Melayu, Makcik Kemboja didenda RM40,000
"Saya hari ini (Khamis), Madam Mariyah atau Mak Cik Kemboja diceraikan di dalam live oleh Mr S bersaksikan lebih 200 mata (penonton) yang melihat.
"Terima kasih Mr S atas cerai yang kau lafazkan pada 7 Ogos 2025. Ternyata kau seorang suami yang tiada iman. Aku memang tak sempurna jadi isteri kau tapi kau lebih tidak layak menjadi suami aku," ujar Mariyah menerusi perkongsian video di laman berkenaan.
Dakwa Mariyah yang merupakan pemilik syarikat jahitan pukal Mariyah Holdings Sdn Bhd, rumah tangga yang dibina selama 15 tahun runtuh kerana orang ketiga.
"Berakhirlah sebuah kisah. Lebih 15 tahun dibina, akhirnya runtuh bukan sebab tiada cinta tapi kerana hadirnya orang ketiga yang tak tahu erti hormat.
"Satu persatu kenangan jadi sejarah, tapi saya reda kerana Allah tahu siapa yang teraniaya. Kadang kehilangan itu sebenarnya penyelamat.
"Biar hilang suami, jangan hilang maruah diri," tulisnya lagi.
Mariyah pernah mencetuskan kontroversi apabila menggelar orang Melayu sebagai golongan malas menerusi aplikasi TikTok pada 2023.
Susulan itu, Mariyah dan anak lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh dan dituduh di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-managolongan atau kaum.
Pada 6 Disember tahun lalu, usahawan itu didenda sebanyak RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh selepas mengaku bersalah melakukan kesalahan tersebut.


