suria

Wanita 40 tahun maut, dipercayai bakar diri sendiri

Mangsa melecur hampir seluruh badan ketika ditemukan. -Foto BBP Ipoh

SEORANG wanita tempatan berusia 40 tahun ditemukan maut dengan kesan lecur hampir keseluruhan badan berhampiran sebuah pusat beli-belah di Klebang, Ipoh, Perak pada malam Rabu.

Menurut Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 11.24 malam yang memaklumkan terdapat individu membakar diri di kawasan berhampiran Aeon Klebang.

"Kawalan BBP Ipoh terima panggilan orang awam. Terdapat orang membakar diri di alam berhampiran Aeon Klebang.

"Setiba anggota di tempat kejadian, terdapat seorang mangsa perempuan melecur. Telah meninggal dunia disahkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia yang berada di tempat kejadian," demikian menurut kenyataan BBP Ipoh.

Anggota bomba turut menjalankan kerja-kerja pemadaman pada punca api yang masih terbakar sebelum menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad memaklumkan, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut sekitar jam 12.30 tengah malam pada Khamis.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan.

 

Artikel Lain