suria

14 rumah, 4 kedai di Pantai Dalam musnah dijilat api

Anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran melibatkan rumah setinggan dan premis perniagaan di Jalan Pantai Dalam, malam Khamis. - Foto JBPM Kuala Lumpur

SEBANYAK 14 rumah setinggan dan empat premis kedai di Jalan Pantai Dalam berhampiran Stesen Komuter KTM musnah dalam kebakaran lewat malam Khamis.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.11 malam berhubung kebakaran itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pantai, Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd Shahrir Azizi Wan Said berkata seramai 36 anggota bomba dan pegawai dari Balai Bomba Pantai dengan dibantu pasukan dari Balai Hang Tuah, Seputeh dan Sri Hartamas dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Anggota bomba tiba di lokasi dalam tempoh lima minit dan mendapati rumah setinggan tersebut telah marak dijilat api, yang turut merebak ke empat buah kedai berhampiran termasuk sebuah kedai serbaneka," katanya dalam satu kenyataan.

Kebakaran memusnahkan kira-kira 80 peratus kawasan rumah setinggan seluas 100 x 80 kaki persegi.

Sementara itu, antara premis yang terjejas adalah Mydin Mart (tingkat bawah) dan Pasaraya Karnival (tingkat atas), di mana bahagian atas pasar raya itu terbakar 100 peratus, manakala tingkat bawah Mydin Mart mengalami kemusnahan kira-kira 20 peratus.

"Tiga buah kedai bersebelahan pula terjejas dengan kadar kemusnahan dianggarkan 90 peratus setiap satu.

"Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu. Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 1.49 pagi.

"Punca kejadian masih dalam siasatan Unit Siasatan Kebakaran JBPM," ujarnya.

Artikel Lain