SEORANG lelaki didakwa di Mahkamah Majistret, Jelebu atas pertuduhan membunuh anak lelaki yang mayatnya ditanam di Rompin, Jempol, Negeri Sembilan pada bulan lepas.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, M. Arunkumar, 36, yang juga pemandu e-hailing kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Norshazwani Ishak.
Berdasarkan pertuduhan, Arunkumar melakukan perbuatan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas anak lelakinya, Tishant berusia enam tahun.
ARTIKEL BERKAITAN: Dakwa anak hilang ketika beli makanan, bapa direman 7 hari susulan penemuan mayat
ARTIKEL BERKAITAN: Mayat budak hilang: Forensik dedah punca kematian akibat dijerut dengan kabel
Perbuatan itu dilakukan antara pukul 9.02 pagi hingga 12.55 tengah hari di tepi jalan kilometer 25, Jalan Rompin-Bahau di Jempol pada 23 Julai lalu.
Pendakwaan terhadap tertuduh dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun serta dikenakan sebatan sehingga 12 kali sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati.
Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi tidak menawarkan jaminan dan memohon tarikh untuk sebutan bagi laporan bedah siasat.
Tertuduh pula tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 10 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Tinggi Seremban.
Untuk rekod, A Tishant dilaporkan hilang di Taman Bukit Indah, Johor Bahru sebelum ditemukan mati dengan mayatnya ditanam di lokasi berhampiran landasan kereta api di Jempol.
Siasatan awal di lokasi mendapati suspek menggunakan cangkul bagi menggali lubang sebelum menanam kanak-kanak tersebut.
Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah jerutan menggunakan pengikat kabel.


