PERTIKAIAN sempadan antara Thailand dan Kemboja kembali memuncak selepas tercetusnya pertempuran bersenjata berhampiran kawasan bersejarah kuil Preah Vihear, yang terletak di sempadan kedua-dua negara.
Sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum ditanda secara rasmi telah lama menjadi isu sensitif antara kedua-dua negara dan beberapa kali mencetuskan konflik diplomatik.
Krisis terbaharu memuncak pada 28 Mei lalu apabila berlaku insiden tembakan di kawasan Preah Vihear yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.
Konflik ini bukan sahaja menjejaskan hubungan dua hala antara kedua-dua negara jiran Asean tersebut, bahkan mampu menggugat kestabilan serantau.
Sebagai tindak balas segera terhadap krisis ini, Malaysia yang kini memegang jawatan Pengerusi Asean telah mengambil inisiatif untuk 'memanggil' mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC), sebuah platform diplomatik dua hala yang diwujudkan bagi membincangkan isu-isu keselamatan dan sempadan antara negara anggota Asean.

Prof Dr Azmi Hassan.
Menurut pakar geostrategi, Prof Dr Azmi Hassan, tindakan Malaysia ini membuktikan peranan aktifnya dalam mendepani cabaran serantau sekali gus memperlihatkan komitmen negara dalam menjadikan Asean bukan sekadar sebuah blok ekonomi, tetapi juga sebagai medium diplomasi yang berkesan dalam menangani konflik.
"Dalam 24 jam pertelingkahan berlaku antara Thailand dan Kemboja, Malaysia sebagai Pengerusi Asean melihat GBC perlu memainkan peranan kerana sebelum ini ada rundingan tapi terhenti disebabkan oleh sengketa bersenjata.
"Saya melihat ini satu sejarah, kerana selama ini Pengerusi Asean tidak mahu masuk campur. Malaysia melihat perlu masuk campur, jika tidak ia akan meleret," katanya kepada mStar.

Askar Kemboja memuatkan pelancar roket berbilang BM-21 di wilayah Preah Vihear pada 24 Julai lalu, sebagai serangan balas ke atas Thailand.
Ujarnya, langkah proaktif Malaysia ini turut memperkukuhkan imej negara sebagai pendamai serantau, yang tidak hanya bersikap neutral tetapi juga cekap dalam menggerakkan dialog dan rundingan, tanpa perlunya campur tangan kuasa besar.
"Jika dilihat dari rentetan peristiwa, dari hari pertama lagi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru supaya GBC ini bermesyuarat kerana telah terhenti sejak tiga minggu lepas, manakala Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump baru masuk campur hari keempat atau kelima dalam hal ini," ujarnya lagi.
Malah, tindakan segera memanggil mesyuarat GBC memperlihatkan kepekaan Malaysia terhadap kepentingan kestabilan serantau, selain menjadi bukti bahawa peranan negara sebagai orang tengah bukan sekadar retorik.
Azmi turut memberikan beberapa peristiwa sebagai contoh di mana Malaysia terlibat dalam rundingan penubuhan Bangsamoro di selatan Filipina, serta menjadi fasilitator dalam dialog damai antara kerajaan Thailand dan kumpulan pemisah Barisan Revolusi Nasional (BRN).
Sementara itu, Ketua Jabatan, Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Mahadee Ismail berkata, pendekatan berkecuali yang diamalkan oleh Malaysia menjadi kekuatan utama dalam menangani konflik serantau.

Prof Madya Dr Mohd Mahadee Ismail.
"Malaysia sentiasa berusaha memelihara hubungan dua hala (bilateral) dan pelbagai hala (multilateral) tanpa menimbulkan provokasi terhadap mana-mana pihak.
"Rekod cemerlang negara dalam proses damai di selatan Filipina, sempadan Thailand, serta penglibatan dalam isu-isu antarabangsa membuktikan bahawa Malaysia mengutamakan penyelesaian secara diplomatik dan inklusif," ujarnya.
Menurut beliau lagi, Malaysia tidak mempunyai sebarang kepentingan wilayah dalam konflik Thailand–Kemboja, justeru menjadikan negara ini sebagai pihak yang boleh dipercayai oleh kedua-dua belah pihak.
Namun begitu, beliau berpandangan antara cabaran utama adalah keterbatasan Malaysia sebagai sebuah negara yang bukan kuasa besar, sekali gus menghadkan keupayaan untuk memastikan keputusan yang dicapai dalam rundingan benar-benar dilaksanakan.

Pekerja asing Kemboja membawa barang-barang mereka pulang dari Thailand melalui Pintu Antarabangsa Doung di wilayah Battambang pada 28 Julai, susulan ketegangan memuncak antara kedua-dua negara.
"Persepsi masyarakat antarabangsa yang melihat Malaysia terlalu berhati-hati dan seolah-olah tunduk kepada tekanan luar turut menjadi cabaran yang sukar dikawal, meskipun ia tidak mencerminkan realiti sebenar pendekatan diplomasi Malaysia," tambahnya.
Menyentuh soal kejayaan rundingan ini pula, penganalisis politik yang juga Felo Akademi Sains Malaysia, Prof Datuk Dr Jayum Jawan berkata, kejayaan sebenar dalam usaha mendamaikan konflik antara Thailand dan Kemboja masih belum dapat ditentukan sepenuhnya.
Ujarnya, kejayaan jangka panjang hanya akan dapat dicapai apabila kedua-dua negara melangkah lebih jauh, merangka perjanjian penamatan konflik secara terperinci, serta mewujudkan kerjasama erat dalam pelbagai bidang seperti diplomasi, politik, ekonomi, sosial dan kebudayaan.

Prof Datuk Dr Jayum Jawan.
"Ini adalah solusi panjang kepada pergeseran. Dan ini adalah cabaran Malaysia sebagai Pengerusi Asean iaitu membawa hubungan mampan kepada kedua-dua negara dan rakyat mereka di samping mempertingkatkan peranan dua negara dalam hubungan dalam Asean.
"Ini baru kejayaan mampan berbanding hanya kejayaan menghentikan insiden tembak menembak di antara Thailand dan Kemboja," ujarnya lagi.
Untuk rekod, mesyuarat GCB berlangsung di Kuala Lumpur selama empat hari, bermula Isnin.
Mesyuarat yang berlangsung sehingga 7 Ogos itu melibatkan menteri pertahanan dan pegawai keselamatan tertinggi dari Kemboja dan Thailand.
Perbincangan dalam mesyuarat tersebut tertumpu kepada usaha mencari penyelesaian damai serta langkah-langkah untuk meredakan ketegangan di sempadan.


