ADUAN kerosakan jalan berlubang yang dilaporkan menerusi aplikasi mudah alih MyJalan mesti dibaiki dalam tempoh 24 jam, tegas Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Katanya, tindakan pantas mesti diambil oleh semua pihak berkuasa, tanpa mengira bidang kuasa pihak yang bertanggungjawab.
Menurut beliau, tempoh pembaikan yang cepat adalah penting bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.
"Tempoh masa yang ditetapkan untuk menampal jalan rosak di bawah seliaan Kementerian Kerja Raya (KKR) ialah 24 jam. Pihak berkuasa lain juga perlu mengambil tindakan dalam tempoh yang sama," katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Rabu.
Tambah beliau, aduan berkaitan kerosakan lain pula akan diselesaikan dalam tempoh maksimum 15 hari.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli (GPS), yang meminta penjelasan mengenai tempoh pemulihan selepas aduan dibuat menerusi aplikasi MyJalan.
Ahmad turut memaklumkan bahawa sebanyak 39,371 aduan telah diterima melalui aplikasi tersebut sejak ia dilancarkan pada Ogos 2023 hingga Jun 2025.
Daripada jumlah itu, 11,959 aduan melibatkan jalan persekutuan, manakala selebihnya berkaitan jalan di bawah kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan agensi lain.
Menurut Ahmad, terdapat lima faktor utama yang menyumbang kepada kerosakan jalan raya, iaitu keadaan cuaca, kenderaan berat yang membawa muatan berlebihan, jangka hayat jalan yang telah tamat, kualiti turapan yang rendah dan kerja utiliti yang tidak disiapkan dengan baik. -The Star


