PEGUAM yang mewakili ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir meminta orang ramai agar berhenti membuat spekulasi mengenai kes tersebut.
Peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri dalam satu kenyataan bersama menegaskan, dakwaan kononnya remaja itu dimasukkan ke dalam mesin basuh hanya spekulasi semata-mata.
"Video seorang wanita yang menceritakan tentang Zara dimasukkan ke dalam mesin basuh adalah satu spekulasi.
"Anak guam kami, iaitu ibu kepada Zara (Noraidah Lamat), tidak pernah memberi maklumat sedemikian kepada sesiapa.
"Kami memohon agar wanita berkenaan menyalurkan maklumat tersebut kepada pihak polis bagi tujuan siasatan," kata peguam.
ARTIKEL BERKAITAN: Gambar kumpulan pelajar didakwa buli arwah Zara Qairina tersebar, ramai gesa siasatan adil
Terdahulu, tular video siaran langsung seorang wanita yang mendakwa pelajar tingkatan satu itu dimasukkan ke dalam mesin basuh.
Untuk rekod, Allahyarham Zara merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, Sabah.
Remaja itu meninggal dunia pada 17 Julai 2025, sehari selepas dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya.
Kisah kematian pelajar tersebut tular di media sosial sehingga mencetuskan gerakan #JusticeForZara apabila timbul dakwaan mangsa maut akibat dibuli.


