suria

Berlegar-legar dekat jeti awal pagi sebelum hilang, dua beranak ditemukan lemas di Pulau Ketam

Rakaman CCTV dipercayai berkaitan kejadian membabitkan dua beranak yang ditemukan lemas di Pulau Ketam.

SEORANG wanita bersama anak perempuannya berusia tiga tahun meninggal dunia selepas dipercayai terjun dari jeti, di Pulau Ketam, awal pagi Rabu.

Laporan sebuah portal Cina yang memetik penduduk tempatan, kejadian berlaku sekitar pukul 6.39 pagi.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kelihatan wanita tersebut membawa anak perempuannya ke jeti dan berlegar-legar di kawasan itu selama kira-kira 10 minit sebelum kedua-duanya hilang.

ARTIKEL BERKAITAN: Pempengaruh tak lemas, tapi larikan diri ke negara jiran… Adik subahat reka cerita

"Mayat ibu dan anak perempuannya ditemui di pesisir pantai sekitar pukul 7 pagi. Kakitangan perubatan yang dikejarkan ke lokasi telah melakukan bantuan pernafasan (CPR) namun kedua-duanya tidak memberikan petanda positif dan disahkan meninggal dunia," kata seorang penduduk yang enggan dikenali.

Identiti wanita terbabit belum didedahkan secara rasmi, namun menurut maklumat penduduk, alamat pada kad pengenalannya berdaftar di Shah Alam.

Siasatan awal mendapati, wanita berkenaan dipercayai baru pulang dari Singapura dan mendaftar masuk ke sebuah hotel tempatan di Pulau Ketam bersama anaknya pada Selasa.

Difahamkan, kes sedang dalam siasatan lanjut pihak polis.  

 

Artikel Lain