suria

Tiada unsur jenayah, kesan cedera pada mayat 2 beranak lemas di Pulau Ketam

Mayat dua beranak ditemukan terapung berhampiran Jeti Pulau Ketam, pagi Rabu.

POLIS mengesahkan penemuan mayat seorang wanita dan anak perempuannya yang ditemui terapung di sekitar jeti Pulau Ketam, dekat Klang, pagi Rabu.  

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Kamal Ariffin Aman Shah berkata, berdasarkan maklumat daripada seorang lelaki berusia tempatan, seorang kanak-kanak ditemui terapung di hadapan jeti pulau itu kira-kira pukul 7.30 pagi.

Pengadu memaklumkan mangsa dibawa naik ke jeti dengan bantuan beberapa orang awam.

"Pihak polis dan kakitangan klinik kesihatan Pulau Ketam sampai ke lokasi kejadian dan telah mengesahkan kanak-kanak tersebut telah meninggal dunia. 

"Pada masa yang sama, kelihatan seorang wanita dewasa terapung di kawasan berhampiran jeti dan setelah dibawa naik, petugas kesihatan mengesahkan wanita tersebut telah meninggal dunia," katanya dalam kenyataan pada Rabu. 

ARTIKEL BERKAITAN: Berlegar-legar dekat jeti awal pagi sebelum hilang, dua beranak ditemukan lemas di Pulau Ketam

Menurut beliau, hasil pemeriksaan sekitar kawasan berhampiran jeti telah menemui sebuah beg berisi dokumen kedua-dua mangsa.

"Mangsa merupakan seorang wanita tempatan berumur 41 tahun dan anak perempuannya berumur tiga tahun. 

"Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor mendapati tiada sebarang kesan cedera pada tubuh badan mangsa serta punca kejadian masih dalam siasatan.

"Kedua-dua mayat telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat," ujarnya.

Tambahnya, setakat ini tiada sebarang unsur jenayah dikesan dan polis telah membuka kertas siasatan berhubung kes berkenaan.  

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Daerah ini ditalian 03-33762222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Terdahulu mStar melaporkan seorang wanita bersama anak perempuannya berusia tiga tahun ditemukan lemas berhampiran jeti Pulau Ketam, awal pagi Rabu.  

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kelihatan wanita tersebut membawa anak perempuannya ke jeti dan berlegar-legar di kawasan itu selama kira-kira 10 minit sebelum kedua-duanya hilang.

Artikel Lain