USAHAWAN dan pempengaruh popular, Khairul Aming (KA), terus membuktikan kehebatan jenama miliknya apabila kumpulan pertama produk terbaharu, Rendang Nyet Berapi habis terjual dalam masa satu minit dan 18 saat.Justeru menerusi sesi jualan secara siaran langsung di TikTok yang dibuat pada Jumaat malam itu, dia mencatatkan jumlah jualan mencecah RM1.8 juta, hasil daripada 100,000 unit rendang sedia dimakan. Sepaket rendang dijual pada harga RM17.99.Kali ini Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman memperkenalkan strategi pemasaran terbaharu iaitu membenarkan pelanggan membeli dalam jumlah banyak.Sebanyak 70,000 unit berjaya dijual dalam tempoh 30 saat menerusi penjualan dalam berkas lima paket.Manakala, baki 30,000 unit lagi dijual mengikut unit habis dalam masa 48 saat selepas itu.ARTIKEL BERKAITAN: Khairul Aming pecah rekod! Dendeng ‘sold out’ 3 minit 39 saat, jualan lebih RM1 jutaTawaran ini dibuat khas sempena pelancaran sulung produk keempat dalam rangkaian jenama Nyet Berapi sejak ia diperkenalkan tiga tahun lalu.Sebagai penghargaan kepada para pembeli, KA turut mengumumkan 'giveaway' istimewa kepada lima individu terpantas yang membeli produk tersebut.Pemenang akan dibawa bercuti ke New Zealand pada bulan Oktober depan.Setiap pemenang berpeluang membawa seorang pasangan masing-masing, menjadikan keseluruhan peserta yang akan diterbangkan ke sana seramai 10 orang.Rekod baharu ini turut mencuri perhatian kerana dicatatkan hanya lima hari selepas usahawan kontroversi, Datuk Seri Aliff Syukri, merekodkan jualan RM1 juta dalam tempoh 2 minit 32 saat.Untuk rekod, pencapaian terbaharu ini juga mengatasi jualan produk kedua Khairul Aming, Dendeng Nyet Berapi, yang dilancarkan pada Februari tahun lalu.Ketika itu, sebanyak 80,000 unit dendeng berjaya dijual dalam masa 3 minit 39 saat, dengan jumlah jualan melebihi RM1.2 juta.Dengan kejayaan terkini ini, Khairul Aming terus mengukuhkan kedudukan sebagai antara usahawan digital paling berpengaruh dan berjaya di Malaysia, khususnya dalam industri makanan sedia dimakan.