suria

Program bantu selebriti berjaya julang mStar sebagai penerima ‘IDEA Award 2025’

Kelihatan Niezam Abdullah (dari kanan), Mohd Fuad, Dr Zulkifli Hasan dan Adam Richman bergambar bersama trofi dan sijil pengiktirafan IDEA Award 2025.

PORTAL berkonsepkan hiburan dan gaya hidup iaitu mStar melakar sejarah manis apabila diumumkan sebagai penerima kategori Anugerah Pemerkasaan Komuniti (Distinguished Community Empowerment Award) dalam’Islamic Distinguished Entrepreneur Award’ (IDEA Award 2025) pada malam Sabtu.

Acara yang berlangsung di Hotel Le Meridien Putrajaya itu membolehkan mStar, menerima anugerah berupa trofi dengan sijil pengiktirafan.

Ketua Pengarang Berita mStar, Niezam Abdullah dan Pengurus Kanan (Produk) Vertikal Melayu, Mohd Fuad Mohd Noor tampil menerima anugerah berkenaan.

 Team mStar teruja menerima trofi kemenangan dalam IDEA Award 2025. Dari kiri wartawan Amin Hazlan, Niezam, Mohd Fuad dan Shuhaniza Said.

Ia disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dan disaksikan oleh Presiden, Dewan Perniagaan Muslim Insider, Profesor (Adj) Adam Richman.

Pemilihan mStar itu adalah kerana kejayaannya memainkan peranan dalam membantu komuniti memerlukan khususnya golongan selebriti dengan menerbitkan program tanggung jawab sosial korporat (CSR) iaitu mStar Baek sejak tiga tahun lalu.

Niezam berkata, anugerah itu memperlihatkan kandungan yang diterbitkan menerusi portal mStar mempunyai nilai tersendiri dan bukan berbentuk hiburan kosong semata-mata.

Katanya, program mStar Baek menyaksikan bahawa portal ini turut memainkan peranan besar dalam membantu selebriti dan individu memerlukan saat mereka dihimpit kesusahan.

ARTIKEL BERKAITAN:Raih 10 juta tontonan pada musim terdahulu, mStar Baek - KPJ terus bantu lebih ramai insan memerlukan

Program yang memperoleh lebih 10 juta tontonan bagi semua platform digital mStar itu turut menyaksikan artis dan individu tertentu menerima bantuan termasuklah penyanyi Zaiton Sameon, Jaafar Onn, Ibnor Riza, Ali (XPDC) pelakon Ebby Yus, Mak Jah dan bekas pemain bola sepak kebangsaan, Azman Adnan.

“Saat golongan selebriti ini diuji dengan kesengsaraan hidup, masyarakat mula melupakan mereka sedangkan suatu ketika dahulu mereka pernah menghiburkan kita dengan lakonan, nyanyian dan bakat mereka.

“Jadi, mStar menjalankan tanggungjawab fardu kifayah bekerjasama dengan syarikat korporat dan individu tertentu mendekati mereka untuk menghulurkan bantuan dalam bentuk kewangan, pemeriksaan perubatan dan keperluan harian,” katanya.

Program mStar Baek musim pertama mendapat kerjasama Noir Health & Beauty, memaparkan kisah selebriti yang menghadapi kesusahan. (Kanan) Pengasas Noir, Eriyca Baiduri (Madammu) bersama barisan artis penerima sumbangan.

Tambahnya, pengiktirafan ini adalah hasil usaha keras semua petugas dalam menyediakan kandungan terbaik kepada komuniti dan lebih bermakna apabila mStar meraikan ulang tahun penerbitannya yang ke 20 pada tahun ini.

IDEA Award 2025 yang memasuki edisi ke-2 penganjurannya bertujuan menghargai pencapaian perniagaan dalam komuniti perusahaan Islam serta mengangkat martabat mereka pada peringkat antarabangsa.

Sebanyak lima kategori anugerah diperkenalkan iaitu Crown of Commerce Brand Award, Distinguished Halal Brand Award, Distinguished Everlast Brand Award, Distinguished Consumer Confidence Award dan Distinguished Quality Product Award.

Open house mStar with celebrity and prize giving for mStar Baek segment. — AZLINA ABDULLAH/Penerima sumbangan program mStar Baek-KPJ Healthcare diraikan pada majlis Terbaek Raya mStar, 30 April lalu. 

IDEA Award 2025 dianjurkan oleh KNKV Group dan diiktiraf oleh Dewan Perniagaan Muslim Insiders dengan sokongan CTOS Data System, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) serta Yayasan Mihrab.

Majlis ini menghimpunkan tokoh industri dari dalam dan luar negara termasuk penerima anugerah antarabangsa antaranya Muslim Pro (Singapura), Human Appeal (Australia) dan ZTE (China).

Ia menjadikan anugerah ini medan pengiktirafan dunia kepada syarikat yang menggabungkan prinsip perniagaan moden dengan etika Islam.

Majlis diserikan dengan nyanyian artis tempatan iaitu Roy (Ratnaku) dan Fazli Zainal.

Untuk rekod, pada tahun lalu mStar muncul sebagai pemenang kategori Best National Viral Page/Channel pada malam anugerah KNKV Viral Award.

Artikel Lain