suria

[V] Raih 10 juta tontonan pada musim terdahulu, mStar Baek - KPJ terus bantu lebih ramai insan memerlukan

KEJAYAAN luar biasa program mStar Baek dalam dua musim terahulu membuka ruang kepada portal hiburan dan gaya hidup mStar membantu lebih ramai individu susah dan orang kurang upaya (OKU), tidak terhad kepada golongan artis serta selebriti.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memasuki musim ketiga ini turut menyaksikan bintang sukan, gelandangan, orang awam, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan dibantu.

Edisi mStar Baek kali ini dilihat lebih istimewa apabila mStar sekali lagi berkolaborasi dengan KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) bagi membantu meringankan beban insan-insan terpilih yang kehidupan mereka diuji.

Kejayaan program ini meraih 10 juta tontonan menerusi menerusi kerjasama kali pertama dengan KPJ Healthcare tahun lalu menjadi bertambah manis apabila mStar menyambut ulang tahunnya yang ke-20 pada tahun ini.

Ketua Pengarang Berita mStar, Niezam Abdullah berkata, pada 2024 respons penonton terhadap program ini amat menggalakkan dengan meraih 10 juta tontonan di semua platformnya, membuka ruang penerbitan serupa diteruskan bersama KPJ Healthcare tahun ini.

Malah, program ini juga antara inisiatif sebagai meraikan 20 tahun perjalanan mStar yang masih mengekalkan kedudukannya sebagai portal hiburan dan gaya hidup nombor satu di Malaysia.

Pemberian cenderamata memeriahkan majlis mStar Baek bersama KPJ.

Chin Keat Chyuan menerima cenderahati sebagai tanda penghargaan terhadap kerjasama mStar - KPJ Healthcare menerusi program mStar Baek.

"Sebagai peneraju kandungan hiburan dan gaya hidup yang mendapat perhatian ramai, penerbitan program berbentuk CSR amat penting sebagai satu usaha untuk membuktikan bahawa pihak kami tidak pernah melupakan golongan kurang bernasib baik terutamanya mereka yang pernah menjadi menyumbang jasa kepada kita selama ini.

"Apatah lagi pada tahun ini mStar meraikan 20 tahun penerbitannya, penghasilan program ini menepis pandangan segelintir pihak yang mungkin menganggap, sesebuah portal gaya hidup itu hanya mementingkan kandungan bersifat komersial dan trending semata-mata. Ia tidak benar sama sekali,” katanya.

Niezam berkata demikian ketika berucap pada majlis mStar Terbaek Raya dan penyerahan sumbangan kepada penerima yang terlibat dalam program mStar Baek musim ketiga, di The Agam, Kuala Lumpur pada Rabu.

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Chin Keat Chyuan pula berkata pihaknya amat berbesar hati dapat meneruskan kolaborasi bersama mStar Baek untuk kali kedua.

"Kami percaya bahawa usaha menyantuni komuniti, khususnya individu yang diuji dengan cabaran hidup, adalah selari dengan komitmen KPJ untuk memperkasa kesejahteraan rakyat Malaysia.

"Melalui program ini, kami berharap dapat membawa sinar harapan kearah kehidupan yang lebih baik kepada penerima sumbangan serta mengukuhkan peranan kami sebagai rakan penjagaan kesihatan pilihan komuniti," katanya.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Star (SMG) Chan Seng Fatt, Ketua Pegawai Operasi SMG, Lydia Wang, Ketua Pegawai Kandungan SMG, Datin Paduka Esther Ng dan Ahli Lembaga Pengarah SMG, Tan Sri Johan Jaaffar.

ARTIKEL BERKAITAN: 10 juta tonton mStar Baek musim kedua, kolaborasi bersama KPJ mampu ringan derita artis

Selain penyampaian sumbangan kepada enam penerima, acara turut diserikan dengan persembahan daripada artis popular seperti Aina Abdul, Amir Masdi, Ara Johari, Amylea, Imran Ajmain dan Fendy Caliph Busker.

Lebih 500 ratus tetamu yang terdiri daripada artis, selebriti, pempengaruh dan pemain industri hadir memeriahkan majlis ini.

Musim ketiga mStar Baek menyaksikan sebanyak lapan episod diterbitkan yang mana tiga artis menerima sumbangan dan salah seorang daripadanya adalah Ebby Yus yang diuji pelbagai penyakit kronik termasuk masalah jantung dan kegagalan buah pinggang.

Turut dipaparkan ialah kisah hidup bekas penyampai radio, Kieran yang menderita kanser prostat sejak tahun lalu dan kisah sedih Fendy Caliph Busker yang tabah membesarkan anaknya yang merupakan OKU penglihatan sepertinya.

Istimewa musim ini turut dipaparkan kisah bekas pemain bola sepak kebangsaan yang pernah menjulang nama pada era 1990-an iaitu Azman Adnan yang kini menderita akibat tulang kaki membengkok.

Kieran antara penerima sumbangan mStar Baek musim ketiga.

Kieran antara penerima sumbangan mStar Baek musim ketiga.

Juga kisah atlet para Nurul Shakina Abdullah Teh yang pernah melakar sejarah menggondol pingat emas pada sukan Para Asean 2003 yang berlangsung di Vietnam dalam acara renang. 

Beliau kini menjadi penyanyi jalanan atau busker di sekitar Kuala Lumpur untuk menyara hidup bagi membesarkan dua anaknya.

Program mStar Baek turut memaparkan kegigihan OKU fizikal iaitu Mohammad Saad Habizal yang amat memberi inspirasi sehingga kisahnya tular di media sosial sebelum ini. 

Hebatnya insan ini yang menghidap palsi serebrum (CP) dan masalah tulang belakang bengkok adalah kegigihannya menjual kerepek sebagai sumber pendapatan dan bukannya memilih untuk mengemis.

Pada Ramadan lalu, team mStar Baek bersama KPJ Healthcare turut turun padang ke Chow Kit, Kuala Lumpur bagi menyantuni kira-kira 10 orang anak daripada keluarga kurang berkemampuan dengan membawa mereka membeli-belah pakaian raya agar sambutan Syawal diraikan penuh ceria.

Program mStar Baek ini disiarkan di YouTube mStar dan semua platform digital selama lapan minggu bermula awal Ramadan lalu.

Menariknya, setakat ini rancangan tersebut mendapat respons baik daripada penonton apabila ia berjaya mencecah lima juta tontonan di semua plaform berkenaan. 

Antara tetamu yang hadir pada majlis ini.

Antara tetamu yang hadir pada majlis ini.

Angka itu dijangka meningkat kepada lebih 10 juta tontonan apabila kesemua rakaman program itu selesai disiarkan akhir Mei ini.

Kerjasama mStar Baek dan KPJ Healthcare ini turut menyaksikan para penerima mendapat sumbangan wang tunai RM3,000 serta rawatan perubatan percuma oleh doktor yang dibawa menyantuni mereka bagi mendapatkan khidmat nasihat kesihatan.

Pihak KPJ Healthcare juga menyediakan kad rawatan perubatan bagi membolehkan mereka dan seisi keluarga melakukan pemeriksaan kesihatan percuma di Klinik Waqaf An-Nur (KWAN) selama setahun.

Sejak 1998, KWAN memberikan penyediaan rawatan kesihatan kepada hampir dua juta pesakit melalui rangkaian 11 klinik statik, sembilan pusat dialisis dan 10 klinik bergerak di seluruh Malaysia.

Untuk rekod, musim pertama mStar Baek bermula pada 5 Oktober 2023 merupakan kolaborasi bersama jenama produk kecantikan popular iaitu Noir Health & Beauty.

Antara artis yang disantuni dan menerima sumbangan pada musim tersebut termasuklah Zaiton Sameon, Mak Jah, Allahyarham Bad (Indigo), Mak Wan Latah, Allahyarham Ibnor Riza, Roy (Ratnaku) Wan Maimunah, Alina Hassan dan Izwan Fitri.

Manakala musim kedua kolaborasi bersama KPJ Healthcare menyantuni golongan selebriti iaitu Izam (Eye), Iqbal Mazlan, Dwan (Olan), Isma Aliff, bapa kepada arwah Along (Spoon) iaitu Pak Engku dan Allahyarham Jaafar Onn.

Tidak ketinggalan Norazlina Zakaria wanita orang kurang upaya (OKU) yang gigih menjaga suami terlantar akibat lumpuh.

mStar Baek musim ketiga dikendalikan oleh Qarami Hashim selaku penerbit bersama wartawan Faiz Izzat dan suntingan video oleh Tuan Hafis Tuan Ludin.

mStar Baek musim ketiga disiarkan menerusi platform YouTube mStar setiap hari Khamis bermula 8 April lalu.

Artikel Lain