DISAMBUT dengan taburan kelopak bunga ros bersama semburan minyak wangi pasti mengujakan sesiapa sahaja.
Begitulah yang dirasai kumpulan pertama jemaah haji Malaysia sejurus tiba di Arab Saudi bagi menunaikan Rukun Islam kelima.
Umpama golongan kenamaan, kesemua 253 jemaah turut dihidangkan minuman istimewa di samping kuntuman bunga ros.
Malah mereka dihiburkan dengan lagu-lagu selamat datang seperti ‘Talaal Badru Alayna’.
Kumpulan ini, seperti semua jemaah lain, akan berada selama enam hari di Kota Suci Madinah sebelum meneruskan perjalanan ke Makkah untuk menunaikan haji.
Walaupun ada yang pernah menunaikan umrah, namun mereka menzahirkan rasa berbeza kerana terpilih sebagai dhuyufurrahman (tetamu Allah).
Salah seorang jemaah yang berkerusi roda, Noormilah Sulaiman, 63 tahun, meluahkan rasa syukur kerana tabungan selama beberapa dekad membolehkannya menunaikan haji.
“Saya mula menabung sejak sebelum berkahwin lagi. Saya pernah menunaikan umrah tetapi perasaan apabila terpilih menunaikan haji amat berbeza... campuran keterujaan, ketakutan dan kebahagiaan.
"Tambahan pula, sambutan yang begitu meriah membuatkan saya sangat terharu dan gembira,” kata ibu kepada tiga anak dari Alor Setar, Kedah ini.

Kesemua jemaah haji dibawa menaiki bas ke Madinah.
Sementara itu Noormilah, yang juga seorang nenek berkata dia berharap akan diberi kekuatan untuk menunaikan haji walaupun kakinya lemah.
“Saya boleh berjalan tetapi tidak jauh. Saya berdoa agar Allah memberi kekuatan untuk menunaikan haji walaupun berada di atas kerusi roda dan memerlukan bantuan orang lain untuk menolak saya,” katanya sambil menitiskan air mata dalam keadaan sebak.
Suaminya, Abdul Halim Othman, 64 tahun, seorang pesara polis berkata dia telah menunaikan umrah sebanyak tiga kali tetapi ini adalah kali pertama menunaikan haji.
“Kami pernah datang semasa menunaikan umrah, tetapi perasaan terpilih untuk haji amat berbeza.
“Saya lebih risau tentang perjalanan ke Mina di mana ibadah melontar akan dilakukan,” kata Abdul Halim.
Seorang lagi jemaah, cikgu Masni Malim, 43, dan pensyarah Ahmad Sharani Abdul Seliban, 44, juga dari Kedah berkata dia telah menabung dalam Tabung Haji melalui potongan gaji selama 17 tahun.
“Saya rasa sangat cemas apabila saya dan suami terpilih menjadi tetamu Allah tahun ini di Makkah.
“Apabila kami pertama kali mendapat berita bahawa disenarai pendek pada bulan September lalu, kami sangat teruja. Kami membuat pelbagai persiapan. Saya memakai kasut sukan ke sekolah dan berjalan serta menaiki tangga untuk kekal cergas.
“Saya membaca pengalaman jemaah terdahulu sebagai persediaan mental dan datang ke sini dengan penuh keimanan kepada Allah.
“Saya juga perlu membuat persiapan untuk anak-anaktermasuk anak berumur tiga tahun dan juga ibu saya yang akan menjaga keempat-empat anak sepanjang ketiadaan saya lebih sebulan.
“Saya berharap mereka yang ingin menunaikan haji membuka akaun Tabung Haji dan banyakkan berdoa agar terpilih menunaikan ibadah ini,” kata Masni.

Jemaah haji akan berada di Madinah selama enam hari.
Suaminya, Ahmad Sharani berkata sejak mengetahui bahawa mereka disenarai pendek, mereka membuat persiapan mental dan fizikal selama beberapa bulan sebelum berangkat.
“Fokus kami sejak itu hanyalah membuat persiapan untuk haji. Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang lalu pun berlalu begitu sahaja kerana tumpuan kami sepenuhnya adalah kepada haji tahun ini,” kata Ahmad Sharani.
Mariam Mat yang berumur 60 tahun dan berasal dari Guar Chempedak, Kedah, berkata bahawa penabungannya selama 15 tahun bersama Tabung Haji akhirnya membuahkan hasil apabila terpilih menunaikan haji.
“Saya tidak sangka akan ditawarkan tahun ini dan saya sangat teruja, lebih-lebih lagi dengan sambutan meriah yang kami terima sebaik tiba di hotel.
“Saya sangat terkejut dan gembira dengan sambutan yang disediakan oleh Tabung Haji dan pihak hotel. Semasa berada di Madinah ini, saya ingin menziarahi makam Nabi Muhammad SAW dan juga menunaikan solat di Masjid an-Nabawi.
“Tabung Haji juga telah memberikan perkhidmatan yang sangat memuaskan dari Kedah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sehinggalah ke sini.
“Saya ingin menasihati semua orang agar tidak menggunakan saluran lain selain Tabung Haji untuk menunaikan haji,” kata nenek kepada tiga cucu itu.
Untuk rekod, Tabung Haji menyelaras kesemua jemaah haji Malaysia dan mengatur sambutan yang meriah bagi 253 jemaah haji ini kerana mereka merupakan kumpulan pertama daripada lebih 31,600 jemaah Malaysia yang akan menunaikan haji tahun ini.


