WARGA emas yang menyembur seekor monyet dengan cat berwarna biru sudah ditahan pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor, berkata laporan diterima pada pukul 2.10 pagi oleh seorang pegawai veterinar dari Daerah Petaling selepas melihat video yang dimuat naik ke Facebook.
“Siasatan awal dijalankan Ketua Polis Balai dan kes diklasifikasikan sebagai rujukan kepada agensi lain, iaitu Jabatan Veterinar dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan),” katanya dalam kenyataan.
Susulan itu, Perhilitan Semenanjung Malaysia bertindak menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat, dan membuat laporan polis lanjut mengikut Seksyen 86 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki warga emas dera monyet dalam sangkar… Sembur cat biru seluruh badan tanpa simpati!
Mohd Hafiz turut menasihati orang ramai supaya tidak melakukan sebarang bentuk kekejaman terhadap haiwan kerana perbuatan sedemikian adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Orang ramai juga diminta tidak bertindak di luar batasan undang-undang yang boleh mengganggu ketenteraman awam,” katanya.
Terdahulu, perlakuan tidak berperikemanusiaan seorang lelaki berusia dengan menyembur cat ke badan dan muka seekor monyet mengundang kecaman ramai.
Berdasarkan maklumat daripada video tular, lelaki berkenaan menyembur cat berwarna biru terhadap monyet liar yang terperangkap dalam sebuah sangkar di kawasan perumahan di Desa Moccis, U17 di Shah Alam, Selangor.