KISAH mengenai pempengaruh CEO Batu yang didakwa mengirim foto tidak senonoh kepada remaja bawah umur kecoh menjadi bualan warga maya pada Jumaat.
Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir, suspek yang berusia 22 tahun itu disyaki melakukan perbuatan itu sejak awal Mei lalu.
"Suspek disyaki telah menghantar beberapa imej tidak senonoh serta mesej berunsur seksual kepada mangsa sejak awal Mei lalu.
"Suspek kini ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(e) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
ARTIKEL BERKAITAN: CEO Batu serah diri, polis siasat kes hantar mesej lucah kepada gadis umur 14 tahun
Terdahulu, penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Caprice membuat pendedahan mengenai gadis yang didakwa menjadi mangsa gangguan seksual CEO Batu atau nama sebenarnya Mohd Iqbal menerusi Instagram.
Caprice mendedahkan beberapa tangkap layar mesej yang didakwa dihantar oleh pempengaruh itu kepada mangsa yang berusia 14 tahun.
Antara mesej yang dikongsi termasuk gambar tidak senonoh didakwa dihantar oleh CEO Batu kepada mangsa, kononnya untuk menunjukkan parut selepas membuat pembedahan.
Pada hari sama, Caprice turut memuat naik bukti-bukti baharu melibatkan individu lain yang mendakwa pernah menjadi mangsa kepada pempengaruh yang sama.