suria

CEO Batu serah diri, polis siasat kes hantar mesej lucah kepada gadis umur 14 tahun

Menghantar mesej berbaur lucah adalah satu kesalahan jenayah. -Gambar hiasan

PEMPENGARUH yang terkenal dengan gelaran 'CEO Batu' kini berada dalam tahanan polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menghantar mesej berunsur lucah kepada seorang remaja perempuan berusia 14 tahun.

Menurut laporan, CEO Batu atau nama sebenarnya, Mohd Iqbal, 22, hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Selangor pada Khamis sebelum ditahan reman bermula Jumaat bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan pula mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

"Ya, kami dah siasat," katanya ringkas, memetik laporan Harian Metro, Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Pempengaruh terhantar foto bogel kepada gadis bawah umur! Lupa ‘crop’, niat asal nak bagi dekat GF

Pada pagi Jumaat, CEO Batu menjadi perhatian selepas penyanyi dan aktivis masyarakat, Caprice atau Ariz Ramli, 37, mendedahkan beberapa tangkap layar mesej yang didakwa dihantar oleh pempengaruh itu kepada mangsa.

Caprice dalam beberapa hantaran di Instagram mendedahkan bahawa dia juga dihubungi oleh ibu kepada remaja terbabit, meminta bantuan kerana mendakwa anak perempuannya menjadi mangsa gangguan seksual.

Antara mesej yang dikongsi termasuk gambar tidak senonoh yang didakwa dihantar oleh CEO Batu kepada mangsa, kononnya untuk menunjukkan parut selepas membuat pembedahan. 

Dalam satu lagi tangkap layar mesej lain, lelaki tersebut turut dilihat memohon maaf dan merayu untuk bertemu ibu remaja itu bagi menyelesaikan isu yang timbul

Kes ini masih dalam siasatan dan pihak polis dijangka mengeluarkan kenyataan lanjut dalam masa terdekat.

Artikel Lain