suria

Suami isteri dera, kurung anak dalam sangkar anjing direman

Kebanyakan rumah mempunyai sangkar sekiranya penghuni membela haiwan peliharaan. -Gambar hiasan

SEPASANG suami isteri direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes penderaan anak perempuan berusia 12 tahun di sebuah kondominium di Sungai Ara, Pulau Pinang.

Lelaki berusia 47 tahun itu bekerja sebagai penyelia kilang, manakala isterinya, 49, merupakan seorang pengurus program di sebuah kilang elektronik di Bayan Lepas.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, perintah reman terhadap kedua-dua suspek masing-masing bermula Rabu dan Khamis.

“Tempoh reman ke atas pasangan suami isteri itu akan berakhir pada Sabtu dan Ahad ini. Kita menunggu arahan pertuduhan dari Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

“Hasil keputusan air kencing terhadap kedua-duanya juga didapati negatif sebarang pengambilan dadah,” katanya, memetik laporan Kosmo pada Jumaat.

Menurut Sazalee, kes masih disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan mangsa kini dilaporkan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Pasangan terbabit ditahan pada Khamis susulan laporan polis yang dibuat oleh guru besar sekolah anak mereka pada Selasa lalu.

Jelas Sazalee, laporan diterima pihaknya pada pukul 11.57 pagi selepas guru kaunseling sekolah mengesan kesan lebam dan luka pada bahagian belakang badan mangsa.

Siasatan awal mendapati, murid tahun enam itu yang juga anak kedua pasangan berkenaan telah dirotan di bahagian belakang badan pada Ahad lalu.

Lebih menyayat hati, mangsa turut memberitahu pihak sekolah bahawa dia sering dipukul dan pernah dikurung dalam sangkar anjing oleh ibu bapanya.

 

Artikel Lain