PERLAKUAN tidak berperikemanusiaan seorang lelaki yang agar berusia dengan menyembur cat ke badan dan muka seekor monyet mengundang kecaman ramai.
Berdasarkan maklumat daripada video tular, lelaki berkenaan menyembur cat berwarna biru terhadap monyet liar yang terperangkap dalam sebuah sangkar di kawasan perumahan di Desa Moccis, U17 di Shah Alam, Selangor.
Presiden Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM), R Kalaivanan, mengecam tindakan individu dalam video terbabit dan menggesa tindakan segera diambil terhadap pelaku.
"Perbuatan tidak berperikemanusiaan itu bukan sahaja menjijikkan, malah pelanggaran serius di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), Seksyen 86 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM5,000 hingga RM50,000.
"Atau boleh dipenjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali, bagi kesalahan mendera atau mencederakan hidupan liar," katanya pada Sabtu.
ARTIKEL BERKAITAN: Selamba guna cat kuning, lelaki ubah anjing jadi Pikachu terima kecaman netizen
ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga ‘merpati pelangi’ boleh diambil tindakan dera haiwan, doktor veterinar minta hentikan kerja tak masuk akal
Berdasarkan video berdurasi seminit itu juga, terdapat seorang lelaki lain turut memerhatikan haiwan itu dicat tanpa menegur perbuatan pelaku.
SAFM turut menggesa saksi kejadian tampil membuat laporan kepada polis serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), bagi membolehkan siasatan dijalankan dan tindakan tegas diambil terhadap pelaku.
“Perbuatan zalim ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. SAFM menuntut agar Jabatan Perhilitan mengambil tindakan menyeluruh dan segera untuk menyiasat kes ini serta memastikan individu terlibat diheret ke muka pengadilan,” katanya.
SAFM turut menegaskan bahawa tiada kompromi dalam soal penderaan terhadap hidupan liar, dan persatuan itu akan terus memantau kes ini secara dekat bagi memastikan keadilan ditegakkan.