IBU kepada remaja 14 tahun yang menerima foto tidak senonoh daripada pempengaruh, CEO Batu mendedahkan dia mengetahui perkara itu selepas memeriksa telefon anaknya.
Wanita itu berkata sudah menjadi rutin kepada setiap ibu bapa untuk memeriksa telefon anak, begitu juga dirinya.
Ibu mangsa turut memaklumkan dia tidak berniat menyekat rezeki CEO Batu.
"Anak saya tak beritahu, saya yang periksa telefon dia.
"Saya akui awalnya saya ‘koyak’ dengan perkara ini tapi saya fikir takkan nak diam.
"Ada bukti, anak sendiri pula yang kena, takkan nak diam," katanya di TikTok.
Ibu tunggal itu berkata anaknya itu juga trauma dengan kejadian berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: CEO Batu serah diri, polis siasat kes hantar mesej lucah kepada gadis umur 14 tahun
ARTIKEL BERKAITAN: Seorang lagi gadis dakwa jadi mangsa gangguan seksual CEO Batu - "Maaf adik, abang tak buat dah"
"Kau (CEO Batu) dah kenapa? Orang tu cakap elok-elok siap 'get well soon uncle' lepas tu tiba-tiba tanya nak tengok parut tak.
"Anak saya tak tahu apa-apa. Mungkin kat situ korang ingat anak saya melayan.
"Padahal anak saya mana tahu parut tu kat mana. Lepas tu dia hantar gambar macam tu," katanya menerusi video di TikTok.
Ditanya sama ada dia sedia memaafkan CEO Batu, wanita itu tidak akan memaafkan pempengaruh berkenaan walaupun sudah memohon maaf kepadanya.
Anak sendiri pula yang kena, takkan nak diam.
IBU MANGSA
"Dia nak menangis air mata darah ka, nak bersujud ka. Tak cukup ungkapan maaf tu dengan apa yang kau dah buat," katanya.
Sementara itu menerusi hantaran di TikTok miliknya sendiri, wanita itu menengaskan dia tidak pernah berhasrat menyekat rezeki pempengaruh tersebut.
Sebaliknya, dia memperjuangkan keadilan anaknya yang menjadi mangsa lelaki berusia 22 tahun itu.
"Segala kontrak atau apa-apa punca rezeki pelaku yang ditarik atau dibatalkan adalah atas keputusan pihak pengurusan mereka," katanya.
Mesej tidak senonoh pempengaruh kepada remaja bawah umur.
Terdahulu, penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Caprice membuat pendedahan mengenai gadis yang didakwa menjadi mangsa gangguan seksual CEO Batu atau nama sebenarnya Mohd Iqbal menerusi Instagram.
Caprice mendedahkan beberapa tangkap layar mesej yang didakwa dihantar oleh pempengaruh itu kepada mangsa yang berusia 14 tahun.
Antara mesej yang dikongsi termasuk gambar tidak senonoh didakwa dihantar oleh CEO Batu kepada mangsa, kononnya untuk menunjukkan parut selepas membuat pembedahan.
Pada hari sama, Caprice turut memuat naik bukti-bukti baharu melibatkan individu lain yang mendakwa pernah menjadi mangsa kepada pempengaruh yang sama.