SUSULAN isu pempengaruh Malaysia, Ammar Mohd Nazhan dan Aras Abdullah yang terbabit dalam pembikinan kandungan media sosial palsu di Bandung, Indonesia, Kementerian Komunikasi berkata pihaknya menyerahkan kepada agensi penguatkuasaan untuk menjalankan siasatan ke atas dua individu berkenaan.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, perkara berkenaan memerlukan rujukan lanjut daripada pihak berkuasa Indonesia dan Wisma Putra, memandangkan kejadian yang dilaporkan itu berlaku di luar negara.
"Sekiranya ia membabitkan badan penguatkuasaan (di negara ini), maka kita serahkan kepada badan itu untuk melakukan siasatan," katanya kepad pemberita pada Sabtu.
Fahmi dalam masa yang sama menasihatkan pempengaruh berkenaan supaya lebih berhati-hati dan tidak keterlaluan dalam menghasilkan kandungan masing-masing.
ARTIKEL BERKAITAN: Sah! Kehilangan Eyka adalah cerita palsu - Polis Indonesia
ARTIKEL BERKAITAN: Berwajah sugul sambil minta maaf... Ramai harap Ammar Nazhan, rakan kena tindakan tegas!
"Dari segi pempengaruh yang menghasilkan konten untuk penonton mereka ini, nasihat saya berpada-pada, jangan keterlaluan.
"Biarlah (insiden) ini kita ambil pengajaran dengan apa yang berlaku," katanya lagi.
Terdahulu pada malam Khamis, pihak berkuasa Indonesia mengesahkan kandungan media sosial yang dihasilkan dua pempengaruh berkenaan mengenai kes kehilangan seorang personality media sosial dikenali sebagai Eyka, adalah cerita palsu dan hanya satu lakonan.
Keesokannya, Ammar dan Aras tampil membuat permohonan maaf selepas memalsukan laporan kehilangan ahli pasukannya yang dikenali sebagai Eyka.
Video permohonan maaf dua pencipta kandungan itu dikongsi menerusi TikTok oleh platform berita Kumparan.
Dalam video itu, mereka berdua dilihat duduk di atas kerusi dengan wajah yang sugul dan serius.
Selain video permohonan maaf secara terbuka, mereka turut menulis surat kepada polis negara itu.