suria

Program Sulung bantu pelajar dari keluarga B40 masuk universiti, tingkat kebolehpasaran graduan

Noraini (belakang) bersama para pelajar yang menerima surat tawaran Program Penajaan KPT.

PELAKSANAAN Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (Sulung) akan diperluaskan kepada semua 20 Universiti Awam (UA) di seluruh negara, pada 2023.

Bagi menjamin kelestarian program itu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedang berusaha untuk mendapat peruntukan daripada kerajaan dan pendanaan daripada pihak luar.

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pengambilan pertama atau Kohort 1 bagi Program Sulung baru bermula pada Oktober.

"Pada fasa ini, lapan UA perintis iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

"Seramai 76 pelajar daripada 115,477 permohonan kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) melalui UPU Online, terpilih ditawarkan sebagai Siswa Sulung," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Program Sulung dan Penyampaian Surat Tawaran Program Penajaan KPT di Dewan Sultan Ibrahim, Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) di Batu Pahat, Johor, pada Rabu.

YB Menteri ketika menyampaikan ucapan perasmian Program SULUNG di UTHM, Johor

Noraini berucap pada majlis pelancaran Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (Sulung) dan Penyampaian Surat Tawaran Program Penajaan KPT.

Noraini berkata, Program Sulung bertujuan untuk memberi peluang kepada generasi pertama dalam kalangan keluarga B40, yang belum ada ahli keluarga melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan lebih tinggi atau universiti.

Menurut beliau, ini terutama pelajar B40 yang cemerlang tetapi kurang berkemampuan untuk masuk ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

Tambahnya lagi, pelajar terpilih bukan sahaja diberi laluan khusus ke UA, malah turut ditawarkan biasiswa, elaun bulanan seperti Elaun Sara Hidup dan bantuan komputer riba.

"Kemudahan asrama juga disediakan sepanjang tempoh pengajian selain mendapat bimbingan daripada pembimbing Sulung dan penasihat akademik. Ini bagi memastikan pelajar-pelajar ini mendapat fokus kepada pengajian.

"Kita juga akan bantu dari segi meningkatkan kebolehpasaran graduan siswa Sulung melalui kerjasama dengan pihak industri bagi memastikan mereka mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik selepas tamat pengajian.

"Hasratnya supaya para graduan Sulung ini nanti dapat berdikari dan mengubah kehidupan keluarga mereka kepada yang lebih baik," kata Noraini.

Picture1

Objektif Program Sulung:

1. Memberi peluang kepada generasi pertama dalam keluarga B40 yang belum ada ahli keluarga melanjutkan pengajian ke pendidikan tinggi (peringkat ijazah sarjana muda dan ke atas).

2. Menyediakan bantuan kewangan dalam bentuk dermasiswa bagi menaja yuran-yuran dan elaun-elaun berkaitan sepanjang tempoh pengajian.

3. Menyelaras penajaan dan pelaksanaan program/aktiviti bagi membangunkan kapasiti pembimbing/siswa Sulung.

4. Memastikan aspek kebajikan dari segi penginapan, mentoring akademik dan bimbingan kaunseling kepada siswa Sulung.

5. Membangunkan potensi dan membentuk identiti siswa Sulung yang seimbang dan holistik melalui program pembangunan akademik dan sahsiah.

6. Meningkatkan kebolehpasaran siswa Sulung melalui keutamaan bagi mengikuti latihan kemahiran professional, program kepimpinan/keusahawanan serta pendedahan kepada industri dan antarabangsa.

Picture2

Noraini (tiga, kiri) menyempurnakan gimik perasmian Program Sulung.

Siswa Sulung merupakan pelajar yang terpilih mengikuti Program Sulung, dalam kalangan pelajar daripada keluarga B40 yang cemerlang (iaitu melepasi tapisan kemasukan PNGK 3.50 dan ke atas) yang ditawarkan program pengajian dalam bidang kompetitif.

Bidang kompetitif yang dimaksudkan pada masa ini ada enam bidang yang signifikan bagi melahirkan kepakaran dalam bidang tujahan negara iaitu perubatan, pergigian, kejuruteraan, undang-undang, perakaunan dan perniagaan, dan pendidikan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL).

Noraini berkata, pelajar B40 yang mengikuti Program Sulung disasarkan mempunyai peluang kerjaya yang baik dan dapat membantu keluarga melepasi kelompok B40.

"Untuk sampai ke tahap itu, banyak cabaran yang perlu kita hadapi. Cabaran utama adalah memastikan kelestarian Program Sulung dari segi pendanaan, kejayaan objektif program dan paling penting pencapaian outcome dari segi kualiti Siswa Sulung yang kita bangunkan," ujarnya.

Picture3

Noraini (belakang) bersama sebahagian penerima surat tawaran Program Penajaan KPT pada 2022.

Beliau berpandangan bahawa pelaksanaan Program Sulung adalah berteraskan kepada hasrat yang murni dan wajar diperluaskan bukan sahaja kepada semua UA tetapi juga IPT lain.

"Oleh itu, saya ingin menyeru kepada universiti berkaitan kerajaan (GLU) dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS) yang berminat untuk bersama-sama dengan KPT dalam Program Sulung ini, untuk berhubung dengan KPT.

"Sehubungan itu, KPT ingin menyeru syarikat-syarikat swasta dan badan-badan korporat, majlis agama Islam atau pusat zakat mahupun yayasan untuk bersama-sama sebagai rakan strategik Program Sulung, untuk tampil menghulurkan sumbangan bagi membantu sama ada dalam bentuk kewangan, barangan atau apa-apa bentuk yang bersesuaian.

"Saya berharap semoga dengan jalinan kerjasama ini, program ini akan dapat diperluaskan pelaksanaannya bagi memberi manfaat kepada lebih ramai siswa Sulung pada masa akan datang," kata Noraini.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain