suria

Polis nafi kompaun individu hantar bantuan, sebenarnya berlaku pelanggaran SOP

Polis percaya ia berpunca daripada salah faham individu tersebut kerana dikompaun atas kesalahan melanggar SOP setelah selesai menghantar bantuan. (Gambar Hiasan)

POLIS Kuala Kangsar, Ipoh, Perak nafi dakwaan mengenakan kompuan ke atas seorang individu kerana mengedarkan bantuan kepada golongan memerlukan.

Sebaliknya, individu itu dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kompuan dikeluarkan kerana kegagalan mematuhi SOP di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 serta undang-undang yang sedang dikuatkuasakan.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Apa yang didakwa adalah tidak benar. Kami tidak mengeluarkan kompuan seperti yang didakwa," ujarnya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Beliau mengulas penularan video memaparkan panggilan telefon ke sebuah stesen radio yang sedang tular.

Dalam video itu, individu berkenaan mendakwa polis mengenakan kompaun ke atas rakannya yang mengedarkan bantuan kepada golongan memerlukan.

"Polis percaya ia berpunca daripada salah faham individu tersebut kerana dikompaun atas kesalahan melanggar SOP setelah selesai menghantar bantuan dan bukannya atas kesalahan menghantar bantuan.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebar sebarang berita tidak sahih menerusi media sosial kerana ia satu kesalahan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," ujarnya. - The Star.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain