suria

Insiden azan Maghrib 3 minit awal di Gombak, ini penjelasan Mufti Selangor

Kesilapan berpunca akibat masalah teknikal pada paparan digital waktu azan di masjid itu.

PUASA adalah batal dan wajib diganti, begitulah nasihat Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid berhubung insiden sebuah masjid yang tersilap melaungkan azan Maghrib tiga minit lebih awal sebelum waktu yang sebenar, Isnin lalu.

"Batal puasa hari ke-7 (Ramadan) bagi jemaah yang bergantung semata-mata kepada laungan azan Maghrib di masjid tersebut dan mereka berbuka serentak dengan seawal azan dikumandangkan.

"Puasa hari itu wajib diqada setelah berakhirnya puasa bulan Ramadan ini," katanya kepada mStar ketika dihubungi.

ARTIKEL BERKAITAN: Azan Maghrib awal: Jais mulakan siasatan... teliti keterangan masjid, rujuk mufti - Pengarah

ARTIKEL BERKAITAN: Azan Maghrib 3 minit awal, masjid di Gombak mohon maaf... puasa jemaah terbatal - Nazir

Mohd Tamyes bagaimanapun berkata, puasa tetap sah bagi mereka yang berbuka lewat seminit dari azan Maghrib tersebut kerana ia sudah dikira masuk waktu berdasarkan zon tempatan.

"Akan tetapi bagi mereka yang yakin telah berbuka lewat seminit dari azan tersebut dikumandangkan pada hari itu, puasanya tetap sah.

"Ini kerana (zon tempatan) waktu solat Maghrib hari berkenaan di masjid tersebut, dua minit lebih awal dari waktu solat zon bagi daerah-daerah yang termasuk dalam zon satu negeri Selangor," katanya.

Pada Isnin lalu, pihak Masjid Al-Khairiyah Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor tersilap melaungkan azan Maghrib tiga minit lebih awal sebelum waktu yang sebenar.

Dalam satu kenyataan rasmi, pihak pentadbir Masjid Al-Khairiyah Taman Seri Gombak turut memohon maaf atas kesilapan itu.

Menurut Nazir masjid, Wan Nawawi, kesilapan berpunca akibat masalah teknikal pada paparan digital waktu azan di rumah ibadah itu.

"Assalamualaikum. Saya mewakili seluruh pentadbir Masjid Al-Khairiyah Taman Seri Gombak memohon maaf atas kesilapan kami melaungkan azan Maghrib tiga minit sebelum masuk waktu sebenar pada hari Isnin, 7 Ramadhan 1442 atau 19 April 2021 disebabkan oleh masalah teknikal paparan digital waktu azan di masjid," katanya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Ujar beliau, pandangan jumhur ulama menyatakan puasa mereka yang terlibat dalam insiden itu terbatal dan ia perlu diganti semula.

"Jemaah yang bergantung semata-mata kepada laungan azan Maghrib dari Masjid Al-Khairiyah untuk berbuka puasa, sila maklum bahawa puasa tuan puan telah terbatal pada hari tersebut dan perlu diganti atau diqada.

"Begitulah pandangan jumhur ulama dalam kalangan Hanafi, Maliki, Syafie dan ramai di kalangan ulama Hambali menyatakan bahawa puasa tersebut batal dan wajib diqada.

"Sekali lagi kami mohon maaf dan InsyaAllah perkara sebegini tidak akan berlaku lagi," ujar beliau dalam kenyataan itu.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad ketika dihubungi berkata, pihaknya akan merujuk kepada mufti negeri berhubung ketetapan hukum, dan meminta pihak masjid berkenaan untuk memberi laporan penuh susulan kejadian yang berlaku.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain