suria

Lebih 5 kali berulang ke rumah sama, tak kira siang atau malam... itulah realiti tugas pegawai bancian demi Banci 2020

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin (dua , kiri) turut turun padang bersama pegawai bancian menemuramah penduduk di Puchong, Selangor untuk Banci 2020. Foto: Chan Tak Kong/The Star

BERPANAS serta berpeluh di bawah terik mentari dengan berpakaian formal, mengenakan topi dan juga pelitup muka.

Inilah yang dilalui oleh pegawai bancian di mana mereka perlu berjalan dari sebuah rumah sebuah rumah di sesuatu kawasan, demi memastikan penduduk melengkapkan borang bancian.

Kira-kira 9,500 pegawai bancian ditugaskan untuk menemuramah penduduk secara bersemuka di seluruh negara bagi pelaksanaan Banci Penduduk dan Perumahan 2020 (Banci 2020) di bawah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

"Setakat ini, majoriti responden memberikan kerjasama dan kami sangat menghargainya," kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin yang turut memohon orang ramai untuk terus memberikan kerjasama kepada pegawai bancian.



Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin

"Pegawai bancian bukan sahaja bertugas di bawah cuaca panas, malah mereka perlu berulang ke rumah yang sama sehingga mereka mendapatkan jumlah sebenar isi rumah berkenaan. Boleh jadi sampai lima kali atau lebih.

"Ada pegawai yang mungkin berkunjung pada waktu petang bahkan pada waktu malam, dan mungkin ada yang akan meninggalkan kad bagi tujuan temu janji berserta borang tinjauan.

"Pegawai bancian turut berdepan cabaran ketika berkunjung ke kawasan kediaman bangunan bertingkat atau kediaman mewah di dalam bandar. Mereka terlebih dahulu perlu mendapatkan permit daripada majlis tempatan atau pengurusan bangunan.

"Bagi sebilangan pekerja kilang atau ekspatriat pula, kami akan membantu memberitahu majikan mereka melalui surat mengenai pentingnya penyertaan mereka dalam tinjauan.



Noraidah Johar (kiri) ditemuramah seorang pegawai bancian yang berkunjung ke rumahnya di Puchong, Selangor.

"Di kawasan luar bandar pula, pegawai bancian berdepan dengan cabaran yang bukan calang-calang. Kadang-kadang, mereka harus menyeberangi sungai dan mendaki bukit dengan pacuan empat roda untuk berkunjung ke kawasan perkampungan tertentu untuk menyelesaikan tugas mereka," kata Mohd Uzir, sambil mengimbas peristiwa di mana telefon bimbit milik seorang pegawai bancian terjatuh ke dalam sungai.

Secara purata, rata-rata setiap isi rumah memerlukan masa sehingga 45 minit ketika temu ramah untuk mengisi borang tinjauan dengan lengkap, dan setiap pegawai bancian mempunyai sasaran untuk mengunjungi sekurang-kurangnya 10 rumah setiap hari.

Tambah Mohd Uzir, kaedah bancian di lapangan merupakan salah satu cara untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai Banci 2020 dan dalam masa sama mendidik masyarakat betapa pentingnya bancian untuk masa depan negara.

"Bancian adalah peluang yang diberikan oleh kerajaan setiap 10 tahun kepada semua rakyat Malaysia untuk menyuarakan keperluan mereka, seperti pendidikan, penjagaan kesihatan, hubungan, kemudahan rekreasi, bekalan elektrik dan bekalan air.



Mohd Uzir turut menemuramah seorang penduduk ketika turun padang bersama pegawai bancian.

"Data yang dikumpulkan akan digunakan oleh kerajaan untuk menggubal polisi dan juga sebagai rujukan para penganalisis dalam merancang masa depan untuk negara.

"Sebagai contoh, penduduk berstatus orang kurang upaya yang direkodkan hanya 10 peratus daripada komuniti orang kurang upaya yang sebenarnya daripada tiga hingga empat juta orang.

"Apabila kami mendapat data sebenar mengenai orang kurang upaya, kami dapat memasukkan kemudahan dan faedah yang diperlukan yang sesuai dengan jumlah keseluruhan ke dalam rancangan masa depan untuk masyarakat," katanya.

Data yang dikumpulkan akan digunakan oleh kerajaan untuk menggubal polisi dan juga sebagai rujukan para penganalisis dalam merancang masa depan untuk negara.

DATUK SERI DR MOHD UZIR MAHIDIN

KETUA PERANGKAWAN

Mohd Uzir memberi jaminan bahawa dalam situasi pandemik ini, pegawai bancian akan mengambil semua langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan sendiri dan keselamatan penduduk yang mereka kunjungi.

Sehingga kini, seramai 14.57 juta penduduk - di mana 495,000 daripadanya adalah warga asing - telah direkodkan daripada anggaran keseluruhan 32.7 juta penduduk di Malaysia.

Di Selangor, DOSM telah merekodkan 41 peratus daripada 6.5 juta penduduk. Bagi jumlah rumah di Selangor pula sebanyak 912,000 atau 44 peratus telah dibanci daripada keseluruhan 2 juta rumah.



Data yang dikumpulkan akan digunakan oleh kerajaan untuk menggubal polisi dan juga sebagai rujukan para penganalisis dalam merancang masa depan untuk negara.

Menurut Mohd Uzir, penyumbang tertinggi adalah dari Putrajaya (100 peratus), diikuti oleh Johor (64 peratus), Perak (60 peratus), Melaka (56 peratus), Perlis (56 peratus), Terengganu (53 peratus), Negeri Sembilan (51 peratus), Pulau Pinang (50 peratus), Kedah dan Selangor masing-masing 42 peratus, Kuala Lumpur (36 peratus), Pahang (34 peratus), Sarawak (32 peratus), Labuan (31 peratus, manakala Sabah merekodkan 22 peratus.

Dengan kaedah bancian dalam talian, e-Bancian yang mencapai lebih daripada 20 peratus, Mohd Uzir berkata kaedah secara bersemuka perlu dilaksanakan untuk melengkapkan bancian.

Banci 2020 dijangka dapat dilengkapkan pada 30 Jun.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain