suria

Kes indeks Kluster Bah Bercham tak melalui kaunter khas di KLIA untuk pakai gelang HSO... Dr Noor Hisham perjelas salah faham SOP kuarantin

Dr Noor Hisham ketika sidang media harian KKM. Foto: Bernama

LIMA kes positif Covid-19 yang membentuk kluster baharu iaitu Kluster Bah Bercham di daerah Kinta, Perak sebagaimana yang direkodkan pada Khamis (19 November), adalah berpunca daripada kes indeks yang tidak menjalani kuarantin 14 hari selepas tiba dari Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan, kes indeks tersebut juga tidak melalui kaunter khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk dipakaikan gelang seterusnya diletakkan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah atau Home Surveillance Order (HSO).

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita 29 tahun antara 4 korban Covid-19... 1,290 kes positif baharu direkodkan

"Kes semalam, itiga hari sebelum bertolak dari Sabah individu itu telah buat ujian di Tawau dan keputusannya negatif.

"Apabila tiba di KLIA, kita sahkan daripada sistem memang dia dah buat saringan dan keputusannya didapati negatif.

"Sepatutnya bila negatif, dia kena pergi ke kaunter untuk pakai gelang dan dikeluarkan HSO. Tapi kita tak tahu macam mana individu itu tak pergi ke kaunter dan terus keluar," katanya dalam sidang media pada petang Jumaat.

Dr Noor Hisham berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita yang bertanyakan sama ada wujud pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) kuarantin yang menyebabkan tercetusnya Kluster Bah Bercham.

Pada Khamis, Dr Noor Hisham memaklumkan kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-45,074) yang positif Covid-19 hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi iaitu Sabah pada 13 November 2020.

Sehingga 19 November 2020, sejumlah 137 individu telah disaring, di mana lima kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak.

Mengulas lebih lanjut, Dr Noor Hisham turut tidak menolak kemungkinan berlakunya salah faham terhadap SOP kuarantin.

"Mungkin tersalah sangka, sebab dulu, kalau negatif kita benarkan tak perlu dikuarantin. Tapi sekarang ni walaupun negatif, kita akan kuarantinkan individu itu untuk tempoh 14 hari," katanya.

Tambah Dr Noor Hisham, ini kerana daripada data yang direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), mereka yang pulang dari Sabah dan didapati positif pada hari ke-13 adalah sebanyak tujuh peratus.

"Kita dapati hari pertama mungkin negatif tapi hari ke-13 dia positif. Yang hari ke-13 positif ialah sebanyak tujuh peratus.

"Bererti kalau 100 orang, 17 orang akan positif pada hari ke-13. Sebab itu kita kuarantinkan untuk tempoh 14 hari bagi pastikan yang tujuh peratus itu dapat kita kawal," ujarnya.

Tambah beliau lagi, susulan daripada kes tersebut, pihaknya akan memperketatkan lagi tindakan agar kejadian sama tidak berulang.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain