suria

Dituduh punca pencemaran air di Selangor, stop jadikan IWK ‘kambing hitam’!

IWK memohon orang ramai untuk turut memantau perbuatan-perbuatan berniat jahat di luar sana daripada menuding kepada IWK yang sentiasa berusaha menyediakan perkhidmatan pembetungan yang terbaik demi memelihara alam sekitar.

KEMELUT pencemaran air di Selangor bukan sahaja memberi kesan kepada penduduk negeri itu, malah turut mencalarkan imej Indah Water Konsortium (IWK).

Ia berikutan ada beberapa pihak yang menuding jari kepada syarikat pembetungan nasional itu yang mana mereka digambarkan sebagai punca kepada masalah yang berlaku.

Terbaharu, timbul tuduhan melibatkan pencemaran loji rawatan air Air Selangor di Taman Velox, Rawang pada 10 November lalu.

Namun hakikatnya, Loji Rawatan Kumbahan (LRK) berkenaan terjejas ekoran pembuangan sisa haram oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam, pelepasan efluen akhir terpaksa dihentikan sejak Khamis, 4 November 2020, selepas IWK mengesan kemasukan air sisa haram yang ke dalam sistem pembentungan di LRK terbabit.

"LRK yang terjejas ini terpaksa menahan aliran selama beberapa hari untuk menghindar daripada tumpahan ke saluran air. Sekiranya ini tidak dilaksanakan dengan segera, elemen haram yang masuk ke loji kita akan menimbulkan masalah lebih lanjut kepada alam sekitar.

"Kemudian, kita mendapat tahu daripada media bahawa serangan berikutnya terhadap syarikat adalah dakwaan yang mengatakan tindakan pelaporan segera, sesuatu yang telah dilakukan oleh IWK pada hari yang sama ia mendapati air sisa haram masuk ke LRK tersebut," jelasnya.

Dalam pada itu, IWK turut menzahirkan penghargaan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang bertindak pantas dalam mendepani pencemaran yang berlaku.

Pada 5 November lalu misalnya, mereka melakukan rondaan bersama dan siasatan yang dilakukan mendapati dua premis berhampiran kilang itu disyaki melepaskan cecair putih kosmetik, sementara cecair merah dipercayai digunakan untuk percetakan kertas berwarna.

Laporan tidak tepat

Apa yang berlaku, beberapa laporan media minggu lepas menyatakan IWK sebagai salah sebuah syarikat yang mencemarkan sumber air di Selangor dan telah didapati bersalah di bawah Seksyen 25 (1), Akta Alam Sekitar.

Laporan media turut memaparkan bahawa IWK telah didenda sebanyak RM15,000 atas pencemaran ke atas loji rawatan Air Selangor.

Jelas pihak IWK, kes tersebut telah dilaporkan di luar konteks yang mana sewaktu kejadian tersebut pada September tahun lalu, paip pembetungan mereka telah dirosakkan oleh wakil kontraktor pihak ketiga ketika kerja-kerja pemasangan utiliti di bawah tanah.

Tindakan itu menyebabkan aliran sisa kumbahan di dalam paip IWK telah tersekat.

Berhadapan dengan situasi yang tidak memberi banyak pilihan, IWK terpaksa mengaktifkan pelan kecemasan dengan membina paip pintasan kecemasan bagi mengelakkan limpahan di permukaan atau ke premis-premis yang akan menyebabkan ketidakselesaan dan kesan kepada orang ramai.

IWK juga telah memaklumkan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan juga pihak-pihak berkepentingan lain berhubung isu tersebut.

Ia sekaligus membuktikan kejadian penutupan loji rawatan Air Selangor pada September 2019 adalah berpunca daripada pencemaran bau ekoran pembuangan sisa haram ke dalam sistem pembetungan dan denda RM15,000 ke atas IWK bukanlah berkaitan dengan isu penutupan loji air tersebut yang jelas tiada kaitan dengan IWK.

“Apabila isu telah diwar-warkan tanpa menjelaskan keadaan sebenar, IWK telah dilihat sebagai pelaku pencemaran tersebut.

"Sebenarnya IWK melakukan sebaiknya untuk memelihara alam sekitar terutamanya yang berkaitan dengan sumber air, ” jelas Narendran lagi.

Malah, Narendran turut meluahkan rasa kecewa syarikat itu kerana dikaitkan dengan tuduhan melulu pencemaran air.

Lebih mengecewakan, pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab masih terus melakukan pembuangan sisa haram ke dalam sistem pembetungan atau terus ke perairan.

“IWK sering disalah anggap atau menjadi kambing hitam apabila berkaitan dengan banyak insiden hanya disebabkan kami adalah sasaran yang mudah.

"Ini perlu dihentikan segera. Apa yang menyedihkan bagaimana kita semua lupa sewaktu kita menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak lama dahulu dan banyak laporan mengesahkan kualiti air dan udara bertambah baik, pada ketika ini IWK juga beroperasi penuh dan melepaskan efluen terawat ke perairan, ” tambah Narendran.

Usaha berterusan oleh IWK

Jelasnya lagi, IWK menjalankan operasi dan penyelenggaraan ke atas 8,147 LRK dan stesen-stesen pam hampir di seluruh negara.

Operasi yang dijalankan oleh IWK perlu mematuhi syarat-syarat dan piawaian ketat yang telah ditetapkan oleh pihak kawalselia berkaitan.

Malah, sehingga September 2020, pematuhan IWK kepada Peraturan Alam Sekitar (Air Sisa Kumbahan) adalah pada tahap 97.1 peratus, satu pencapaian yang lebih tinggi daripada pencapaian tahap pematuhan 96 peratus pada 2019.

Tambah Narendran, pada ketika IWK perlu mematuhi keperluan yang lebih tinggi untuk operasi dan pertanyaan atau aduan pelanggan, mereka berjaya mematuhi tahap perkhidmatan (Level of Service) yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Menurutnya lagi, biarpun IWK berjaya mematuhi piaiwai ketat tersebut tetapi imej IWK mudah tercemar dengan sikap pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sisa haram ke dalam paip pembetungan awam.

Malah terdapat juga punca pencemaran lain di negeri Selangor terutamanya daripada tangki septik individu, tangki septik komunal dan tandas tradisional palong yang tidak diselenggara dengan baik oleh pemilik.

“Daripada maklumat yang kami kumpulkan, terdapat sekitar 97,894 tangki septik individu, tangki septik komunal dan palong yang berada di kawasan tadahan air di Selangor.

"Daripada jumlah tersebut, hanya 3.5 peratus sahaja pemilik yang mengosongkan tangki-tangki mereka.

"Masih terdapat juga beberapa sistem pembetungan di negeri Selangor yang belum diserahkan kepada IWK untuk operasi dan penyelengaraan, sebaliknya diuruskan oleh pihak-pihak persendirian," kata Narendran.

Tambahnya lagi, apabila IWK dipertanggungjawabkan untuk menjalankan operasi dan penyelenggaraan sistem pembetungan peringkat nasional, negeri Selangor kini telah merekodkan peningkatan ketara untuk tahap pematuhan pada 97 peratus.

Kini, Selangor merekodkan sistem pembetungan bersambung ke loji pada tahap 90 peratus berbanding pada 83 peratus sekitar 10 tahun lalu.

Penyumbang terbesar kepada kejayaan di negeri itu adalah melalui peranan IWK dalam merancang perkhidmatan dan sistem pembetungan kapital apabila lebih daripada RM3 billion telah dilaburkan untuk sistem pembetungan awam yang baru serta kerja-kerja penambahbaikan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Rancangan Malaysia (RMK) seperti RMK9 dan RMK10 (2006-2015) termasuklah RMK11 (2016-2020) yang masih berjalan.

Kini, Selangor mempunyai beberapa sistem pembetungan moden dan bertaraf antarabangsa yang bukan sahaja dapat memenuhi pematuhan ketat kualiti piawaian tetapi juga dibina dengan unsur mesra masyarakat persekitaran.

Malah, pembangunan infrastruktur sistem pembetungan direkacipta untuk membolehkan rakyat di negeri Selangor dan seluruh Negara amnya menikmati sanitasi awam dengan taraf tertinggi.

Dalam pada itu, pihak SPAN juga turut meluluskan peruntukkan sebanyak RM142.8 juta bertujuan untuk menaiktaraf sebanyak 644 buah loji-loji rawatan kumbahan yang akan menyaksikan peningkatan kualiti ke atas efuen terawat yang dilepaskan daripada loji-loji tersebut.

Ini jelas menunjukkan komitmen daripada pihak Kawalselia dan IWK dalam usaha untuk memelihara alam persekitaran.

Untuk rekod, kesemua loji-loji rawatan kumbahan selengaraan IWK beroperasi 24 jam dan 365 hari setahun.

Kakitangan IWK juga akan menjalankan kerja-kerja mereka di loji-loji besar manakala loji-loji yang lebih kecil akan beroperasi di bawah mod automatik dengan lawatan berkala.

Bagaimanapun usaha murni ini akan terjejas sekelip mati apabila mereka yang tidak bertanggungjawab melakukan pencemaran kepada sumber air mentah.

Sehubungan itu, IWK memohon orang ramai untuk turut memantau perbuatan-perbuatan berniat jahat di luar sana daripada menuding kepada IWK yang sentiasa berusaha menyediakan perkhidmatan pembetungan yang terbaik demi memelihara alam sekitar.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Sebelum

Artikel Lain