suria

3 lagi korban di Sabah, 374 kes positif Covid-19 direkodkan... 73 dirawat di ICU

Malaysia rekodkan 374 kes baharu positif Covid-19 pada Sabtu. Foto: Bernama

PERKEMBANGAN terkini penularan Covid-19 di negara ini merekodkan 374 kes baharu, menjadikan keseluruhan 15,096 kes setakat Sabtu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 4,161 kes, dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Beliau berkata, daripada 374 kes baharu yang dilaporkan, dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: 354 kes baharu direkodkan, 6 kematian di Sabah... 3 lagi kluster dikesan

Menurut Dr Noor Hisham, daripada 372 kes penularan tempatan, sebanyak 343 adalah warganegara dan 29 warga asing.

"Adalah dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan tiga kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 155 kes," katanya pada sidang media, petang Sabtu.

Beliau berkata, tiga kes kematian tersebut dilaporkan di Sabah.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 73 kes telah pulih Covid-19 pada Sabtu dan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 10,780 kes.

"Sehingga kini, terdapat terdapat 73 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 28 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Sementara, Dr Noor Hisham turut memberitahu terdapat enam kluster baharu Covid-19 dikesan pada Sabtu.

Berikut perincian kes kematian pada Sabtu:

1) Kes 153 (kes 14,038) ialah seorang lelaki berumur 61 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan tuberkulosis dan telah meninggal dunia di Hospital Tawau.

2) Kes 154 (kes 14,974) ialah seorang wanita berumur 54 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan obesiti meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth.

3) Kes 155 (kes 14,999) ialah seorang lelaki berumur 51 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan jantung dan telah meninggal dunia di Hospital Semporna.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Covid-19, KKM, Sabah

Artikel Lain