suria

Covid-19: Seramai 475 petugas kesihatan digerakkan ke Sabah, Dr Noor Hisham seru ramai sukarelawan perubatan bantu KKM

Seramai 475 petugas kesihatan digerakkan ke Sabah. Gambar hiasan. Foto: Bernama

KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 475 petugas perubatan dan kesihatan awam pelbagai kategori serta skim perkhidmatan digerakkan ke beberapa daerah di Sabah setakat Sabtu.

Ujarnya, pasukan bantuan itu digerakkan ke Tawau, Lahad Datu, Semporna serta Kota Kinabalu bagi membantu menangani penularan pandemik Covid-19 dan mobilisasi pasukan itu dilakukan sejak awal peningkatan kes di sana.

Dr Noor Hisham berkata, penilaian keperluan sumber manusia akan terus dilakukan bagi membantu mengawal situasi penularan jangkitan Covid-19 di Sabah selain untuk memastikan kelangsungan perkhidmatan kesihatan di sana.

ARTIKEL BERKAITAN: 3 lagi korban di Sabah, 374 kes positif Covid-19 direkodkan... 73 dirawat di ICU

"Kebajikan semua anggota kesihatan dan perubatan akan terus diutamakan bagi memastikan mereka selaku aset utama KKM dapat menjalankan tugasan mereka dengan baik.

"Terima kasih diucapkan kepada semua anggota kesihatan dan perubatan serta semua sukarelawan yang telah sama-sama membantu memerangi Covid-19 di Malaysia setakat ini," katanya pada sidang akhbar secara maya yang disiarkan di Facebook KKM hari ini.

Dr Noor Hisham turut menyeru lebih ramai sukarelawan perubatan dan kesihatan melibatkan diri untuk membantu KKM dalam menangani gelombang ketiga Covid-19.

Mengenai rancangan kerajaan untuk mengaktifkan Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia di Tawau bagi melaksanakan bantuan sokongan dalam merawat kes selain Covid-19, beliau berkata, hospital itu akan menyediakan perkhidmatan Obstetrik dan Ginekologi, Pediatrik serta Pembedahan Am.

"Ini akan memberi lebih banyak ruang kepada Hospital Tawau untuk merawat kes yang memerlukan penjagaan rapi (kategori 3-5) termasuk yang dirujuk dari daerah berdekatan, khususnya Semporna.

"Kes yang tidak mempunyai gejala atau gejala ringan (kategori 1 dan 2) akan terus ditempatkan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC)," katanya.

Beliau berkata, perancangan awal KKM bakal menyaksikan 100 katil ditempatkan di hospital itu manakala kapasiti serta keperluan kemudahan lain akan dinilai dari masa ke masa. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain