suria

Jemaah hadir solat Jumaat positif Covid-19, aktiviti masjid di Subang ditangguh

Seorang jemaah yang hadir ke masjid berkenaan bagi menunaikan solat Jumaat Masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang pada 2 Oktober, didapati positif Covid-19. -gambar hiasan

SEORANG jemaah yang hadir ke sebuah masjid di Subang, Selangor bagi menunaikan solat Jumaat disahkan positif Covid-19.

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengarahkan agar solat Jumaat, solat fardu lima waktu dan aktiviti pengimarahan di Masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang dekat Shah Alam ditangguhkan bermula petang Khamis (8 Oktober) sehingga diberitahu kelak.

Pengarah Jais, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, arahan itu susulan seorang jemaah yang hadir ke masjid berkenaan bagi menunaikan solat Jumaat pada 2 Oktober, didapati positif Covid-19.

"Mengikut rekod, bilangan jemaah yang hadir pada solat Jumaat pada hari itu adalah seramai 1,310 orang.

"Oleh yang demikian, Jais menyeru para jemaah yang hadir waktu berkenaan supaya tampil dan segera melakukan saringan di klinik kesihatan yang berhampiran sekiranya bergejala atau melakukan kawalan kendiri dengan kuarantin di rumah," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohd Shahzihan berkata, situasi itu juga akan dibincangkan dengan terperinci pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Penilaian dan Pengawasan SOP Masjid & Surau yang akan dipengerusikan oleh beliau untuk tindakan selanjutnya mengenai kedudukan masjid itu dalam masa terdekat.

"Buat masa ini, pihak Jais hanya membenarkan tiga petugas dari kalangan pegawai atau ahli jawatankuasa untuk melaungkan azan dan melakukan solat fardhu.

"Kerja-kerja pembersihan dan sanitasi telah dilaksanakan oleh pihak pentadbir masjid pada hari ini," katanya. - Bernama



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain