suria

Sah positif Covid-19, Hajiji dirawat di hospital

(gambar fail) Hajiji disahkan positif Covid-19 dan kini sedang menjalani rawatan di Hospital Queen Elizabeth. Foto ZULAZHAR SHEBLEE/The Star

KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor disahkan positif Covid-19 dan kini sedang menjalani rawatan di Hospital Queen Elizabeth (QEH).

Perkara itu disahkan selepas beliau menjalani ujian Covid-19 sekali lagi ketika sedang melakukan kuarantin kendiri beberapa hari lalu.

Setiausaha Perhubungan Awam kepada Ketua Menteri, Effendi Mohamed Sunoh berkata, seperti yang sedia maklum, Hajiji sebelum ini secara sukarela menjalani kuarantin kendiri selepas salah seorang daripada kakitangannya didapati positif Covid-19.

"Ketika dalam kuarantin kendiri itu, beliau menjalani ujian Covid-19 sekali lagi dan hasil ujian terbaru mengesahkan beliau didapati positif.

"Beliau kini sedang menjalani rawatan di QEH bagi rawatan seterusnya. Keadaan kesihatan beliau baik dan stabil," katanya dalam satu kenyataan media, pada lewat Jumaat malam.

Effendi berkata, walaupun Hajiji sedang menjalani rawatan namun beliau masih menjalankan tugas dan tanggungjawabnya di tempat rawatan menerusi panggilan telefon dan sidang video.

"Kerajaan Negeri berfungsi seperti biasa. Beliau mengajar seluruh rakyat Sabah bertenang dan bersama-sama berdoa agar Allah SWT sembuhkan dan selamatkan Sabah dan Malaysia daripada Covid-19," katanya. - Sinar Harian

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain