suria

Tutup sekolah! Arahan dikeluarkan jika ada kes positif Covid-19 - PM

Kementerian Pendidikan mengambil tindakan menutup sekolah tanpa menunggu penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan sekiranya ada guru atau murid yang disahkan positif Covid-19. -gambar hiasan

IBU bapa, penjaga, murid-murid dan warga sekolah diminta ambil perhatian.

Kerajaan bersetuju supaya Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tindakan menutup sekolah tanpa menunggu penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM) sekiranya ada guru atau murid yang disahkan positif Covid-19, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan beliau secara sidang video di kediamannya pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Pentadbir sekolah boleh buat keputusan tutup sesi persekolahan? Ini jawab Ismail Sabri

Beliau berkata, mesyuarat itu antara lain membincangkan kes-kes baharu Covid-19 di Selangor dan Wilayah Persekutuan, termasuk kes yang melibatkan murid di Sekolah Kebangsaan Bangsar.

Katanya, mesyuarat juga memberi tumpuan khusus kepada situasi Covid-19 di Sabah.

"Memandangkan kes-kes di negeri ini masih menunjukkan peningkatan, mesyuarat bersetuju supaya Kementerian Pendidikan meneliti keperluan untuk menutup sekolah-sekolah di seluruh negeri Sabah. Menteri Kanan Pendidikan (Dr Radzi Jidin) akan membuat pengumuman rasmi mengenai perkara ini, ” katanya dalam hantaran menerusi Facebook rasmi beliau. - Bernama

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain