suria

Wah! KJ jumpa Veveonah, siap minta maaf ... ada cadangan baik untuk kampungnya

Wajah ceria Veveonah (kiri) dan Khairy dalam satu pertemuan di UMS. Foto Twitter @Khairykj

KISAH pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin terus hangat diperkatakan.

Terbaharu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin mengadakan pertemuan dengan pelajar cemerlang itu di universiti berkenaan.

Beberapa foto pertemuan tersebut dikongsikan oleh Khairy di laman Twitter beliau pada petang Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Akhirnya terjawab! Veveonah tidak menipu, UMS sahkan pelajar ambil exam dalam talian Jun lalu

ARTIKEL BERKAITAN: Panas! Dakwaan Veveonah tak ambil exam berterusan... timbalan menteri petik MP Kudat, pensyarah beri info - "Maklumat mana yang nak kita rujuk"

"Sempat bertemu Veveonah di UMS. Saya telah mohon maaf kepada beliau dan ibu bapa beliau bagi pihak kerajaan," tulisnya di laman Twitter.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau turut mencadangkan supaya Veveonah bekerjasama dengan Yayasan Inovasi Malaysia, agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

"Saya juga telah cadangkan untuk Veve berkerjasama dengan @YayasanInovasi untuk membangunkan projek inovasi di kampung beliau dalam pemeliharaan alam sekitar," katanya.



Khairy (dua, kanan) ketika bertemu dengan Veveonah (dua, kiri) bersama ibu bapa pelajar UMS itu.

Pertemuan tersebut sehari selepas Khairy membuat pengumuman bahawa mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu, bersetuju isu sebenar dihadapi Veveonah adalah berkaitan masalah capaian internet di kawasan pedalaman.

Menurut Khairy, Kabinet mengambil maklum bahawa kenyataan Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abdul Rahim Bakri dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin adalah tidak betul dan tidak wajar.

Veveonah menjadi perhatian susulan video tular menunjukkan pelajar jurusan Asasi Sains dari UMS itu, berada di atas pokok untuk mendapatkan capaian internet yang lebih baik bagi menjawab soalan peperiksaan pada 12 Jun lalu.

Pada 3 September lalu, Zahidi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar membuat kenyataan dalam Dewan Negara bahawa kisah diceritakan Veveonah dalam satu video yang dimuat naik di Youtube adalah palsu dan sekadar untuk menaikkan nama sendiri.



Pertemuan bersama Veveonah dikongsikan oleh Khairy di laman Twitter beliau.

Zahidi kemudian mengakui terkhilaf semasa mendakwa Veveonah yang juga personaliti YouTube menipu kononnya terpaksa memanjat pokok bagi mendapat liputan internet bagi menjawab peperiksaan yang diadakan secara dalam talian.

Menurut Zahidi, beliau mengakui memperoleh maklumat daripada Abdul Rahim.

Pada 7 September lalu, Abdul Rahim yang juga Ahli Parlimen Kudat mendakwa isu yang dicetuskan Veveonah video berkenaan adalah palsu, malah beliau menganggap pelajar terbabit hanya 'membuat drama' bagi meraih perhatian.

Bagaimanapun, dakwaan mengenai Veveonah akhirnya terjawab apabila Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Masidi Manjun mengesahkan bahawa pelajar itu tidak menipu dan telah menduduki peperiksaan akhir secara dalam talian pada Jun lalu.

"Setelah mendapat penjelasan terperinci daripada Pengarah Pusat Asasi Sains UMS, saya mengesahkan pelajar Asasi Sains, Veveonah telah menduduki peperiksaan akhir pada 9 hingga 12 Jun 2020.

"Veveonah seorang pelajar cemerlang dan akan meneruskan kursus ijazah Sains Marin di UMS," ujar Masidi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain