suria

Lagi PKPD Pentadbiran di Kedah, kali ini dikuat kuasakan di 28 mukim Kota Setar

Kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar melakukan proses sanitasi di Masjid Ar-Rahman, dekat Alor Merah di Alor Setar. Foto Bernama

LAGI Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran dikuat kuasakan.

Lokasi terbaharu yang dikuatkuasakan itu adalah di 28 mukim di Kota Setar, Kedah bermula 12.01 tengah malam ini sehingga 25 September.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia akan membabitkan seramai 366,787 penduduk secara keseluruhan.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan pada mesyuarat khas pada Khamis selepas mengambil kira peningkatan kes positif Covid-19 kluster Sungai dan Tawar di daerah berkenaan.

"Ini juga selaras dengan cadangan oleh Menteri Besar Kedah (Muhammad Sanusi Md Nor)," katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Putrajaya, Khamis.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, Prosedur Operasi Standard (SOP) di daerah berkenaan adalah sama sepertimana SOP PKPD Pentadbiran yang lain, termasuk larangan keluar dan masuk di kawasan berkenaan, di mana pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melaksanakan sekatan jalan raya. - Bernama

Artikel Lain