suria

Isu Veveonah: Zahidi perlu hadir beri penjelasan, mohon maaf di Dewan Negara minggu depan - Rais

Isu membabitkan Datuk Zahidi Zainul Abidin dengan Veveonah Mosibin masih berpanjangan.

NAMPAKNYA isu melibatkan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin dengan penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin masih belum selesai.

Terbaharu, Speaker Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim membuat keputusan untuk meminta Zahidi hadir ke persidangan Dewan Negara pada minggu depan bagi memberi penjelasan dan memohon maaf berhubung kenyataannya mengenai Veveonah, sebelum ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Akhirnya terjawab! Veveonah tidak menipu, UMS sahkan pelajar ambil exam dalam talian Jun lalu

Rais membuat ketetapan itu selepas Senator Alan Ling Sie Kiong mengemukakan usul tergempar mengikut Peraturan Mesyuarat Perkara 25 (1) (q) bagi merujuk Zahidi ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negara berikutan tindakannya memberikan jawapan tidak tepat semasa persidangan dewan itu Khamis lalu.

"Setelah menimbang perkara secara jauh dan dekat, secara luas dan spesifik, kita harus bersetuju dahulu supaya beliau perlu datang ke dewan ini dan beri pandangan dan penjelasan dan akhirnya memohon maaf kepada pihak yang berkenaan.

"Jika beliau enggan berbuat demikian, mungkin pada minggu hadapan barulah kita juruskan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan itu. Begitulah pandangan saya dan berharap ia dapat dirakam sebagai keputusan awalan sebelum penjurusan sebenar de facto dibawa kepada jawatankuasa itu," katanya.

Terdahulu, Alan memaklumkan kepada persidangan Dewan Negara bahawa beliau telah mengemukakan usul berkenaan pada 7 September lalu dan ia memerlukan 14 hari sebelum dimasukkan ke dalam aturan urusan mesyuarat untuk dibahas.

"Bagaimanapun oleh kerana ada keperluan tindakan segera dan perkembangan terkini hal ini, saya harap dewan ini meluluskan usul ini.

"Semalam Jemaah Menteri telah bincang isu itu dan memang benar pelajar berkenaan terpaksa menduduki peperiksaan atas pokok kerana akses Internet yang terhad dan lemah. Jemaah Menteri memutuskan kenyataan dikeluarkan Zahidi itu tidak betul dan tidak wajar.

“Beliau sebelum ini menyatakan untuk hadir dan mohon maaf tetapi tidak berbuat demikian. Perkara ini perkara serius dan boleh mendatangkan fitnah kepada Veveonah. Keangkuhan yang ditunjukkan bukan sahaja mengelirukan tetapi mencemar imej dan intergriti Dewan Negara," kata senator berkenaan.

Isu tercetus selepas Zahidi sebelum ini mendakwa Veveonah tidak mengambil peperiksaan sebagaimana yang dipaparkan menerusi videonya yang memanjat pokok untuk mencari capaian internet.

Dakwanya, maklumat yang diterimanya mengenai Veveonah diperoleh daripada Ahli Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim Bakri yang juga timbalan menteri kewangan 1.

Namun, Pengerusi Lembaga Pengarah UMS Datuk Seri Masidi Manjun, pada Selasa lalu mengesahkan Veveonah tidak menipu dan telah menduduki peperiksaan akhir secara dalam talian pada Jun lalu. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain