suria

“KKM mohon low-key...” - Selepas 3 hari, menteri kanan jawab kenapa lawatan delegasi China tak dihebahkan

Ismail Sabri memberi penjelasan berhubung lawatan delegasi China ke Malaysia pada Isnin yang tidak dihebahkan kepada umum. -foto Bernama

PERSOALAN mengenai kehadiran Menteri Pertahanan China, Wei Fenghe ke Malaysia bersama delegasi yang tidak dihebahkan kepada umum pada Isnin, akhirnya dijawab oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) itu berkata, walaupun negara masih mengawal ketat kemasukan warga asing dan menutup pintu sempadan negara, kerjasama diplomatik dengan negara lain masih berjalan seperti biasa.

"Yang pertamanya kalau melibatkan kerajaan dengan kerajaan kita benarkan.

"Takkan nak putuskan hubungan diplomatik dengan negara lain sehingga tak boleh adakan kerjasama," katanya pada sidang media, petang Khamis.

Menurut Ismail Sabri, kerajaan telah mendapatkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum Fenghe bersama delegasi dibenarkan masuk ke negara ini.

Beliau juga menegaskan bahawa setiap mereka yang terlibat perlu mematuhi SOP ketat seperti yang ditetapkan KKM.

"Sebelum masuk mereka perlu melalui saringan swab test, tiga hari sebelum masuk... macam orang lain dan perlu tunggu keputusan.

"Sehingga keputusan keluar negatif baru mereka masuk, dibawa ke hotel dan tak dibenarkan keluar," katanya.

Ismail Sabri menjelaskan bahawa lawatan menteri dari negara kuasa besar itu tidak dihebahkan kepada pihak media dan rakyat atas permintaan KKM.

"Satu lagi permohonan KKM ialah 'low key', tak perlu secara besar-besaran, kalau tak nanti pemberita datang agak sukar dari segi kawalan... jadi tak ada pemberita sama ada dengan perdana menteri atau saya.

"Bukan saya tak nak beritahu media, sudah tentu kalau ada media lagi bagus boleh kita maklumkan apa yang kita bincangkan," katanya.

Antara yang dibincangkan dalam pertemuan itu termasuklah pendirian negara dalam isu Laut China Selatan.

"Bincang pertahanan dua negara dan berbagai isu,yang paling rakyat Malaysia sensitif Laut China Selatan misalnya.

"Kita beritahu pendirian kita, tegas mesti selesaikan secara rundingan," katanya.

Dilaporkan, kehadiran Fenghe ke Kuala Lumpur pada Isnin lalu untuk membincangkan kerjasama dua hala dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Muhyiddin menyatakan kesediaan Malaysia memperkukuhkan hubungan dengan Beijing dalam semua bidang, termasuk pertahanan, perdagangan dan pendidikan.

Muhyiddin turut dilaporkan mengucapkan tahniah kepada China atas kejayaannya menangani penularan Covid-19.

Artikel Lain